Janet (tengah) pada sidang media mengenai kejayaan Michelle Yeoh. FOTO Rohanis Shukri
Janet (tengah) pada sidang media mengenai kejayaan Michelle Yeoh. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Dia seorang yang bekerja keras, rajin dan sangat berusaha. Saya amat berbangga dengan kejayaannya," kata Datin Janet Yeoh, ibu pelakon terkenal, Tan Sri Michelle Yeoh, 61, yang merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik, di Anugerah Academy atau Oscar bagi edisi Ke-95.

Janet, 84, ditemui berkata, beliau sentiasa ada di belakang anaknya untuk memberikan sokongan tanpa jemu dan kemenangan Oscar diraih itu disifatkan hadiah bermakna untuk mereka sekeluarga.

"Saya anggap kejayaan Michelle menang Oscar itu, hadiah sempena hari jadi saya yang akan dirai pada bulan depan. Ditambah, dia (Michelle) juga akan balik ke Malaysia untuk kami meraikannya bersama-sama nanti.

"Saya tak sabar menanti kepulangannya. Apapun, saya sangat berterima kasih kepada semua yang menyokong perjuangan karier lakonan Michelle selama ini. Kemenangan sangat bermakna yang ditunggu-tunggu oleh kami semua," katanya pada sidang media.

Janet yang yakin dengan kejayaan berpihak kepada anaknya itu tetap sebak dalam gembira.

Katanya, ini kejayaan istimewa untuk keluarga serta pada masa sama, Michelle juga mengharumkan nama Malaysia.

Anak saudara Michelle dikenali Vicki Yeoh berkata, dia berasa sangat teruja dengan kejayaan dalam karier dikecapi, ibu saudaranya itu di pentas lakonan Hollywood.

"Oscar ini, anugerah yang besar dan hebat. Kejayaan diperoleh itu memang layak untuk Michelle kerana dia seorang yang sangat teliti dalam hasil kerjanya. Setiap tawaran skrip diterima, dia akan menelitinya dahulu.

"Kami seluruh ahli keluarga Michelle sangat gembira dan kemenangan itu begitu istimewa. Ia akan menjadi semangat untuk dia (Michelle) terus berusaha lagi dalam karier lakonannya," katanya.

Terdahulu, detik bersejarah Michelle itu turut diraikan ibunya, keluarga, saudara terdekat serta tetamu jemputan istimewa pada acara Tontonan Eksklusif Oscar 2023 - Kebanggaan Malaysia di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, di sini.

Michelle yang lahir di Ipoh, Perak, dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik Oscar menerusi lakonan hebatnya sebagai watak Evelyn Quan Wang dalam filem Everything Everywhere All At Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Kemenangan itu menjadikan Michelle pelakon wanita pertama dari Asia memenangi trofi berprestij Oscar yang disiarkan secara langsung dari Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Beliau sekali gus berjaya menewaskan calon nama besar lain seperti Cate Blanchett bagi filem TÁR, Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans).

Selain Oscar, Michelle sebelum ini memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi, Anugerah Golden Globe dan Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Screen Actors Guild (SAG) 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 3:11 PM