Jamie Lee Curtis memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di acara Anugerah Academy 2023. FOTO AP
Jamie Lee Curtis memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di acara Anugerah Academy 2023. FOTO AP
Agensi

 

Los Angeles: Aktres Jamie Lee Curtis, 64, mendedikasikan kemenangannya untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di acara Anugerah Academy 2023 kepada mendiang bapanya, pelakon Lee Tony Curtis dan ibu, pelakon Janet Leigh yang pernah dicalonkan untuk Oscar terdahulu.

Jamie dalam ucapannya, mengakui dia berasa amat terharu dengan kemenangannya itu yang sama sekali tidak diduga, apatah lagi ia anugerah Oscar pertama yang diterimanya.

"Ibu dan bapa saya, kedua-duanya pernah dicalonkan untuk Oscar dalam kategori berbeza. Bapa, Lee Tony Curtis dicalonkan pada tahun 1959 untuk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem The Defiant Ones. Manakala, ibu Janet Leigh adalah calon pada tahun 1961 untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Psycho.

"Selain itu, saya juga dedekasikan kemenangan ini kepada anda semua. Walaupun tahu ia kelihatan seperti saya berdiri di sini sendirian, tetapi tidak kerana saya sebenarnya mempunyai beratus-ratus orang di belakang.

"Kepada semua orang yang memberikan sokongan, tidak kira berapa ramai sekali pun, lihat kami baru saja memenangi Oscar bersama-sama!," katanya.

Terdahulu, Anugerah Academy bagi edisi ke 95 ini kini disiarkan secara langsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Jamie memenangi anugerah Oscar itu menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert yang dibintanginya bersama Ke Huy Quan dan Tan Sri Michelle Yeoh.

Sebelum ini, Jamie juga memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah

Screen Actors Guild (SAG) 2023 yang turut membawa kemenangan kepada Ke Huy untuk anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Yeoh pula dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 11:02 AM