Michelle Yeoh
Michelle Yeoh
Agensi

Los Angeles : Pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, melakar kejayaan indah dalam kariernya apabila memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik di Screen Actors Guild (SAG) Awards 2023, hari ini.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan Yeoh sebagai pelakon wanita Asia pertama yang membawa pulang trofi di SAG Awards.

Yeoh memenangi kategori itu menerusi filem Everything Everywhere All at Once yang mengisahkan pemilik kedai dobi berketurunan Cina-Amerika terpaksa bergelut untuk menyelesaikan masalah cukai dihadapi.

Beliau yang terharu dengan kemenangan itu berkata, dia sangat gembira dan teruja kerana tidak menyangka akan menang lagi seterusnya membawa pulang anugerah berprestij itu.

"Ini bukan untuk saya saja. Ini untuk setiap gadis kecil yang kelihatan seperti saya. Terima kasih kerana memberikan saya penghargaan," katanya turut menitiskan air mata gembira.

Ini adalah kemenangan ketiga Yeoh tahun ini selepas menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di National Board Review Awards dan Golden Globes.

Selain Yeoh, calon hebat lain yang bersaing dengannya untuk kategori itu ialah Cate Blanchett menerusi filem Tár, Viola Davis (The Woman King), Ana de Armas (Blonde) dan Danielle Deadwyler (Till).

Apa yang menarik, nama Yeoh kini disebut-sebut mempunyai peluang besar dan cerah untuk dinobatkan sebagai Pelakon Filem Wanita Terbaik di Oscar atau Academy Awards, bulan depan.

Pada acara SAG Awards 2023 itu, Yeoh berjalan di karpet merah dengan menggayakan gaun rona hitam Schiaparelli Haute Couture yang elegan dengan sulaman labuci kuning di sepanjang gaun itu.

Selain itu, filem Everything Everywhere All at Once turut memecah rekod SAG Awards apabila memenangi empat kategori utama.

Selain Pelakon Wanita Terbaik, ia turut menang kategori Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Ke Huy Quan) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jamie Lee Curtis).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 3:09 PM