Nourul Depp
Nourul Depp

Kuala Lumpur: Penyanyi, Nourul Depp menjelaskan bahawa dia dan keluarganya meraikan sambutan Krismas seperti yang dikongsikannya di Instagram semalam, adalah untuk meraikan ibu dan bapa mentuanya yang kini berada di Bali.

Dalam hantaran terbaru di Instagram Storynya, Nourul, 45, berkata, dia dan keluarga sekadar meraikan kegembiraan dengan memberi hadiah memandangkan kedua mentuanya juga tidak lagi terlalu mengamalkan ajaran Kristian.

"Semalam, tak sempat nak tulis 'caption' bagi habis. Ibu dan bapa mentua ada di sini. Saja bagi mereka gembira.

"Apa pun, mentua saya tak amalkan sangat dah agama mereka. Kami buat semua ini untuk gembira dan raikan hadiah hujung tahun," tulisnya.

Dalam hantaran itu juga, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab menjawab persoalan beberapa netizen sejak semalam, yang mempersoalkan imannya sebagai orang Islam.

"Jika terpesong, bermaksud sebagai Islam yang 'mass' di gereja (sembahyang untuk orang Kristian), itu, boleh hukum saya.

"Saya tak pernah meletakkan agama jauh dari fikiran dan hati. Itu peribadinya Tuhan sahaja yang tahu. Kamu yang menghukum itu, terimalah nanti," tulisnya.

Terdahulu, Nourul memuat naik video memaparkan suaminya, Eric Daniel Depp membuat persediaan untuk memberi kejutan Krismas kepada anak-anaknya sebelum hantaran itu dipadamkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 1:12 PM