Ajai
Ajai
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Saya enggan masuk campur. Itu urusan mereka, emak dan anak. Ada masa ada hal anak dan bapa pula.  

"Ada masa Ayu bergaduh dengan saya dan ada hari yang Ayu bergaduh dengan emaknya. Yang penting kita fikirkan yang terbaik buat semua."

Ini kata komposer dan pemain keyboard Exists, Mohamad Faizal Maas atau Ajai berkenaan isu hangat membabitkan perselisihan faham anaknya Ayu Nazirah dan bekas isterinya, Nourul Deep. 

Ajai, 48, juga berharap perkara terbabit tidak diperbesarkan kerana menyifatkan perselisihan faham di antara ibu dan anak adalah perkara biasa.

Nourul menerusi Instagram, baru-baru ini memberi bayangan seperti berkecil hati dengan tindakan anaknya yang seakan meminggirkannya. 

"Pada saya itu adalah hal peribadi di antara ibu dengan anak. Merajuk (Nourul dan Ayu) itu sebenarnya sudah biasa sangat.

"Saya kira itu perkara standard (perselisihan faham) antara ibu dan anak. Biasalah kalau Ayu bergaduh dengan maknya, dia akan mengadu kepada saya. 

"Kalau Ayu berselisih faham dengan saya, dia mengadu dengan maknya. Biasalah tu," kata Ajai ditemui pada majlis sidang media Exists X Orkestra di sebuah hotel, di sini. 

Bagaimanapun sebagai bapa, Ajai memainkan peranan menasihati Ayu untuk berbaik dengan ibunya.

"Sebagai bapa saya pujuk Ayu. Bila merajuk atau berselisih faham dengan mak, minta maaf. Kena hormat ibu kerana itu syurga kamu dan darah daging kamu," katanya.

Dalam masa sama, Ajai juga menafikan status ibu baru yang dimaksudkan Nourul dalam hantaran tersebut bukan merujuk kepada isterinya sekarang, Liza Ilias.

"Bukan, dia bukan maksudkan isteri saya sekarang, Liza, bukan. Itu orang lain," katanya.

Terdahulu, Nourul, 46, berkongsi foto dirinya sedang hamil dan menceritakan kronologi sebelum melahirkan anaknya sekitar 25 tahun lalu dan kini seperti terasa hati kerana anaknya sudah mempunyai 'ibu baru'.

Perkongsian ini menerima pelbagai komen ditinggalkan netizen yang berbaur sedih dan terharu dengan pengorbanan besar seorang ibu yang sanggup berkorban apa saja termasuk nyawa demi anak tersayang.

"Sekarang baru kami tahu, menjadi ibu itu tak mudah. Happy, sedih, happy, diduga, disakiti.

"Semua perempuan akan merasai rasa ini. Jangan sesekali menyakiti hati mereka yang berikan kita kehidupan dan pengorbanan," tulisnya.

Nourul pernah mendirikan rumah tangga dengan Ajai pada 1996 sebelum bercerai pada 2006.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Ayu Nazirah, 25. Pada 2012, Nourul berkahwin kali kedua dengan Eric Daniel Depp yang berasal dari Perancis. 

Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Zachary, 10, Raphael, 8, dan Isabella 4. Nourul dan keluarganya kini sudah berpindah ke Bali, Indonesia dan menetap di situ sejak September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 9:34 PM