Fadzil Teh.
Fadzil Teh.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penerbit, Fadzil Teh meluahkan kekecewaannya dengan sikap sesetengah pelakon yang dilabel sebagai 'berhaluan kiri'.

Fadzil yang juga pemilik syarikat produksi Zeel Production berkata, golongan itu sering mencanangkan pendapat bahawa mereka tidak menerima tawaran kerja kerana tidak memiliki paras rupa menarik, tetapi apabila ditawarkan, mereka gagal dari sudut komunikasi.

"Artis-artis yang berhaluan kiri ini maksud saya yang selama ini sering melontarkan luahan bahawa mereka tidak ditawarkan berlakon oleh syarikat produksi dan stesen TV.

"Mereka ini kerap mencanang perkara sama, tetapi bila dihubungi untuk ditawarkan tawaran kerja, tak menjawab panggilan dan tak ada maklum balas pula," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihak syarikat produksi perlu melalui beberapa fasa dan pekerjaan yang dilakukan perlu dibuat dengan pantas untuk melancarkan proses dengan stesen TV.

"Bila kita tak tawarkan, kata stesen TV tak mahukan mereka kerana TV hanya mahukan pelakon yang berwajah menarik serta jambu. Bila orang tawarkan, komunikasi mereka pula sangat teruk.

"Apabila syarikat produksi dah dapat tawaran, kami perlukan jawapan segera sebab nak hantar nama kepada stesen TV. Tapi, bila dah seminggu cuba hubungi tapi tak ada sebarang jawapan, susahlah," katanya.

Menurutnya, dia ingin menambah warna dalam karya-karya terbitan syarikatnya pada tahun hadapan menerusi kerjasama dengan pelakon-pelakon 'method' ini.

"Dah banyak tahun saya dikatakan sering bekerjasama dengan pelakon yang ada rupa paras dan jambu saja. Jadi, untuk tahun 2023, saya rasa saya nak bekerjasama dengan mereka yang 'deep' dan pelakon-pelakon 'method' ini.

"Tapi, banyak pula kerenahnya. Bila nak pasangkan dengan hero atau heroin yang lebih komersil, ada pula persoalan itu dan ini. Banyak soal jawabnya pula daripada mereka yang berhaluan kiri ini.

"Jadi, saya selaku pihak syarikat produksi memaklumkan kepada pihak stesen TV untuk berikan masa lagi sehari. Kalau tidak ada sebarang jawapan, kami pun terpaksa tukar pelakon lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:53 PM