Azlee Senario
Azlee Senario
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelawak senior, Azlee Senario menyeru agar penerbit dan pengurus produksi tidak memandang remeh isu bayaran kepada artis senior kerap kali disebut sebagai tidak berpatutan. 

Azlee, 57, berkata, dia kerap kali membaca luahan rakan-rakan artis senior yang berkongsi mengenai bayaran yang mereka terima, tidak setimpal dengan kerja serta pengalaman. 

"Okaylah. Kepada mereka di luar sana terutamanya kepada penerbit dan pengurus produksi, tahulah itu duit anda tapi bakat kami. Jadi, biarlah seimbang. 

"Saya banyak membaca di media sosial mengenai luahan artis veteran yang dibayar dengan harga murah. Jadi, saya rasa amat sedih seolah-olah mereka tak hargai bakat otai-otai ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Azlee, dia juga pernah ditawarkan tawaran berlakon dengan bayaran yang tidak setimpal. 

"Saya pernah juga mendapat tawaran sebegitu dan ditawarkan menjadi watak yang agak penting, tapi bayarannya sehari RM500. Saya cakap, apa kata adik bagi nombor akaun adik, abang 'transfer' kepada adik dan adik berlakon. 

"Maksudnya, dia kena tahu, jangan sewenang-wenangnya mengambil kesempatan kepada pelakon-pelakon otai sebab tanpa mereka, takkan ada yang baharu. 

"Jadi, kalau di Hollywood, pelakon-pelakon lama lebih mahal bayaran mereka. Tapi, di Malaysia terbalik pula," katanya. 

Malah, ibu saudaranya yang juga pelakon veteran, Wan Maimunah juga turut pernah berkongsi mengenai perkara sama. 

"Banyak artis veteran yang mengeluh dan mengadu. Tolonglah hargai bakat mereka. Ibu saudara saya, Wan Maimunah pun pernah kena. Saya rasa, Ya Allah kenapa sampai ke tahap itu sedangkan dia pelakon serba boleh. 

"Kami sebagai pelakon otai tidaklah menekan harga yang terlalu tinggi sangat. Tapi, biarlah berbaloi dengan watak," katanya. 

Terbaharu, Azlee dan rakan-rakannya dalam kumpulan Senario bakal memulakan penggambaran filem baharu berjudul Senario Legend tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 12:14 PM