Pelakon, Hamidah Wahab pada majlis drama Perang Panjut 7 Likur mengisi slot Panggung RTM. FOTO ROHANIS SHUKRI
Pelakon, Hamidah Wahab pada majlis drama Perang Panjut 7 Likur mengisi slot Panggung RTM. FOTO ROHANIS SHUKRI
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Bukan meraih simpati, tetapi pelakon veteran Hamidah Wahab, 66, buntu apa dan mana silapnya dia terputus tawaran membintangi drama mahupun program TV lain selama 10 tahun.

Hamidah berkata, selama berlakon tanpa henti sejak 1974, setiap tahun dia tak pernah lengang dan tak ada tawaran berlalkon sama ada dari stesen tv swasta, RTM, TV3 sehinggalah sampai satu masa itu, tiba-tiba putus tawaran.

"Sekarang sudah 10 tahun tak dapat tawaran. Itu yang jadi tanda soal besar. Saya tertanya-tanya adakah kami terlalu sangat lama, orang sudah jemukah, tak tahu nak cakap.

"Kenapa jadi begitu? Adakah prestasi lakonan saya kurang, pelakon-pelakon baharu naik, mungkin pasal bayaran. Pada mereka mungkin lebih baik ambil pelakon tambahan untuk watak mak-mak supaya bayaran sedikit.

"Ada beberapa pelakon lama yang masih ada seperti Datuk Fauziah Nawi dan Wan Maimunah turut mengadu perkara sama. Tapi saya nampak mereka ada juga tawaran berlakon lagi. Untuk saya, terus senyap," katanya ditemui pada pratonton telefilem Perang Panjut 7 Likur, semalam.

Hamidah berkata, ada juga tawaran datang tapi sangat tidak setimpal. Dia paling terkilan apabila ada tawar-menawar terlalu murah nak bayar RM150 untuk penggambaran empat hari.

"Bukan tak nak ambil, saya minta juga naikkan sedikit, janganlah sampai begitu. Saya memang senyapkan saja kerana memang tak berbaloi. Tidak setimpal dengan modal pengalaman dan cara kerja yang saya ada.

"Sedihlah bukan saya seorang, saya bercakap bagi pihak artis-artis lama secara keseluruhan. Tolonglah hargai kami," katanya.

Hamidah bagaimanapun bersyukur masih ada punca pendapatan lain apabila terbabit bekerja dengan syarikat yang menguruskan jemaah ke Makkah.

"Saya memang ada alternatif lain. Selain berlakon, ada juga kerja sampingan saya buat. Saya luangkan masa pergi balik ke Makkah. Tak adalah susah sangat, terlebih fikir tiada tawaran lakonan.

"Tak bolehlah bila tak berlakon, nak lepak tidur saja kat rumah, sangat 'down'. Oh tidak, itu bukan cara saya. Walaupun tak ada tawaran, saya tetap akan buat sesuatu kerja yang boleh cergaskan otak," katanya.

Sehubungan itu, Hamidah sangat bersyukur apabila ditawarkan menerajui telefilem Perang Panjut 7 Likur. Dia sifatkan tawaran daripada RTM itu sangat drastik namun berbaloi dengan bayaran diterima.

"Bayaran di RTM tetap terbaik kerana saya sudah berada di gred A. Saya tak naklah banding-banding dengan produksi sesiapa, kadang rezeki lebih, dapat lebih. Tapi di RTM kadar bayaran memang takkan lari," katanya.

Selain Hamidah, telefilem arahan Epo Jenon itu turut dibintangi Fadilah Mansor, Datuk Fauziah Nawi, Dalimawati, Raf Roslee, Dina Allysha, Idan Aedan, Fathil Dani, Jeri dan Sayyid Bakir.

Ia ditayangkan pada 6 April, jam 9 malam, di TV1 untuk slot Panggung RTM. Ia juga boleh distrim menerusi RTMKlik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 4:28 PM