VOKAL tersendiri Agfan di samping persembahan mantap memukau 2,800 penonton.
VOKAL tersendiri Agfan di samping persembahan mantap memukau 2,800 penonton.
Georgie Joseph


SATU-SATUNYA penyanyi lelaki dari Indonesia yang sentiasa dinantikan persembahannya di Malaysia ialah Afgan. Kekal relevan hingga kini, momentum kerjayanya tetap kukuh.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Syahreza, 33, umpama berlian yang tetap bersinar merentasi masa. Bakat dan pesonanya tidak ternilai dan jiwa penghiburnya luar biasa.

Jika awal kemunculannya dulu, dia dilihat sekadar penyanyi berwajah tampan dan bersuara lunak. Nyanyian merdunya saja sudah cukup untuk cairkan penonton tatkala menyaksikan persembahannya.

Namun, kini kematangannya sebagai penghibur jelas semakin ketara. Buktinya, dia berjaya menghidupkan konsert Afgan Evolution Kuala Lumpur di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini dengan begitu semula jadi.

Bertepatan dengan judul konsertnya 'evolution', Afgan menakluk pentas tanpa rasa canggung, penuh keletah, bijak atur bicara di samping memberikan persembahan demi persembahan yang cukup mantap.

Lebih manis, tiket konsertnya terjual habis dan menarik lebih 2,800 penonton kali ini. Ia membuktikan pengaruhnya dalam kalangan peminat tempatan memang luar biasa.

Rasa syukur itu turut dizahirkan Afgan pada malam berkenaan. Menurutnya, dia sangat menyanjung peminat Malaysia yang memungkinkan karier muziknya selama ini bertahan kukuh hingga sekarang.

AFGAN bijak atur bicara di pentas.
AFGAN bijak atur bicara di pentas.

"Saya tidak mungkin boleh bertahan selama ini jika tanpa sokongan peminat Malaysia. Sepanjang 14 tahun ini, perjalanannya bukan sentiasa mudah.

"Tapi, kamu sentiasa berada dengan saya sepanjang turun naik saya. Kerana itu saya tidak dapat gambarkan sebesar mana rasa syukur saya," katanya.

Bukan pertama kali, malah ini kali keempat Afgan mengadakan konsert solo di Malaysia. Ternyata dia masih mampu menarik penonton membeli tiket menyaksikan persembahannya.

Justeru, perkara itu sangat menyentuh hatinya dan baginya kehadiran penonton adalah anugerah terbesar buatnya. Bukan setakat dari Kuala Lumpur, peminat Brunei, Indonesia, Singapura dan dari negeri lain seperti Johor, Sabah dan Sarawak turut hadir.

"Saya sangat hargai kamu dan kamu sangat bermakna besar buat saya. Apatah lagi, kamu sanggup datang malam ini dari pelbagai tempat, saya benar-benar maksudkannya," katanya.

Pada malam itu, pelbagai sisi ditampilkan Afgan untuk memukau penonton. Selain matang mengendali bicara, stamina dan tenaga ditonjolkan juga dijaga rapi pada setiap lagu dipersembahkan.

Vokalnya tak perlu dipertikai, dia antara penyanyi lelaki yang sentiasa dicemburui memiliki vokal tersendiri. Gemersik nyanyiannya menusuk hingga kalbu dan sangat mempesona.

Selain itu, penguasaannya untuk lagu berentak rancak juga amat mengagumkan. Sambil menyelitkan tarian, coraknya berpanggung sudah berada di kelas tersendiri dan bertaraf global.

Menariknya malam itu, kehadiran Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid turut mendapat tumpuan. Bahkan, Afgan sendiri turun pentas menghulurkan mikrofon kepadanya ketika mempersembahkan lagu Ku Mohon.

AFGAN bersama band dan penyanyi latar.
AFGAN bersama band dan penyanyi latar.

Ketika tampil dengan persalinan kedua, dia muncul dari sebuah pintu sisi di bahagian penonton, sekali gus membuatkan ramai histeria. Dia sempat bersalaman dan menyapa penonton lebih dekat.

Rangkaian lagu dipersembahkan juga disusun dengan begitu teliti. Baik lagu di awal kemunculan, sehingga lagu terkininya, dia mengimbangi persembahannya supaya kena dengan jiwa pelbagai generasi penonton yang hadir.

Menyanyikan lebih 20 lagu, dia turut membahagikan konsert terbabit kepada beberapa segmen termasuk akustik.

Lagu dipersembahkan ialah M.I.A, Say I'm Sorry, Bad, Knock Me Out, Wajahmu Mengalihkan Duniaku, Jodoh Pasti Bertemu, Untukmu Aku Bertahan, Terima Kasih Cinta, If I Don't Have Your Love, Sudah, KDKDD, Percayalah, Touch Me dan I Believe In You And Me.

Tidak ketinggalan lagu Sadis, Pulih, Sabar, Setia Menunggu, Kunci Hati, Pendam, Bawalah, Dia Dia Dia, Lestari Merdu, Lenggang Puspita, Bukan Cinta Biasa dan Panah Asmara.

Afgan turut menggamatkan suasana apabila menyanyikan lagu Sinaran nyanyi asal Sheila dengan versi tersendiri. Ketika itu, ramai penonton menyerbu depan pentas untuk merakamnya.

Terbaharu di Indonesia, Afgan baru sahaja melancarkan EP berjudul +62 yang mengandungi tiga lagu iaitu Pendam, Lestari Merdu dan Pulih.

Afgan Evolution Kuala Lumpur di Malaysia dibawakan oleh Renjana Idea Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:43 AM