BARISAN artis yang membuat persembahan pada Konsert 3mendous JOOX, Sabtu lalu.
BARISAN artis yang membuat persembahan pada Konsert 3mendous JOOX, Sabtu lalu.
Amirul Haswendy Ashari

Biarpun muncul sebagai penyanyi ketujuh yang membuat persembahan yakni sekitar jam 10.40 malam, persembahan Dayang Nurfaizah yang menyampaikan lagu Di Pintu Syurga, Lelaki Teragung dan Dayang Sayang Kamu versi remix pada Konsert 3mendous JOOX pada malam Sabtu lalu dianggap paling memukau lebih 2,000 penonton.

Lebih menghiburkan, penyanyi itu turut mengajak penonton menari ketika menyampaikan lagu Dayang Sayang Kamu versi remix.

“Saya pilih lagu yang penonton boleh menyanyi bersama. Ketika lagu Dayang Sayang Kamu, saya memang nak menari di pentas tetapi disebabkan pentas agak licin, saya turun ke bawah dan tak sangka ramai mahu menari sekali dengan saya,” kata Dayang pada sidang media ringkas selepas konsert itu.

Ketika mengalunkan lagu Dayang Sayang Kamu, hampir separuh penonton yang hadir bangun menari dan menyanyi bersama-sama penyanyi itu.

Dayang gembira melihat sambutan penonton pada malam itu terutama ketika menyampaikan lagu rancak sebagai ‘hint’ single terbaru yang bakal diterbitkan.

Katanya, dia mahu mencari kelainan untuk single baru dan cuba mempelbagaikan genre.

DAYANG menari bersama peminat.
DAYANG menari bersama peminat.

Akim & The Majistret (ATM) juga tidak kurang hebat apabila menyampaikan lima lagu termasuk single terbaru berjudul Rampas yang kali pertama diperdengarkan secara langsung.

Malah, ramai memuji single terbaru band itu yang dianggap segar meski ada elemen 80-an.

“Lagu Rampas sudah ada sejak tahun lalu selepas pemergian mak. Ketika itu saya tidak dapat luah perasaan saya dan minta Stacy tulis lirik.

“Kalau dengar liriknya, boleh dengar bahasa pasar yang jelas tetapi bermakna. Ramai puji elemen muzik 80-an yang diberi nafas baru dan ada mendakwa ATM sudah kembali menghasilkan karya yang lebih terbuka untuk pasaran,” kata Akim.

Akim turut menjelaskan persembahannya pada malam itu tampak bertenaga kerana di pentas sajalah dia dan pemuzik dapat melepaskan perasaan.

Selain lagu Rampas, mereka turut menyampaikan lagu Terlalu Mudah, Lagu Untuk Laila, Potret dan Obses.

Konsert 3mendous JOOX pada malam itu turut disaksikan lebih 33,000 penonton secara ‘online’.

AKIM & Majistret lepas geram atas pentas.
AKIM & Majistret lepas geram atas pentas.

Aizat pula menghiburkan penonton dengan tiga lagu hit iaitu Hari Hariku, Sampai Hari Tua dan Hanya Kau Yang Mampu dengan diiringi pemuzik quartet.

“Saya sangat gementar kerana pilih pemuzik quartet tetapi perkara itu paling penting kerana dapat cabar diri sendiri dan syukur ramai terhibur. “Saya tak pernah tengok penyanyi main gitar dengan quartet, selalunya quartet akan persembah dengan band malah ahli quartet saya sendiri bertanya ada band atau tidak? Saya kata kita saja,” katanya yang mahu tampil berbeza daripada penyanyi lain pada malam itu.

Konsert ini diadakan sempena ulang tahun ketiga aplikasi penstriman muzik JOOX.

Persembahan pembukaan dimulakan dengan penyanyi Aziz Harun melalui lagu Senyum, That’s What I Like dan Jangan.

Percubaan Aziz menyampaikan lagu That’s What I Like nyanyian asal Bruno Mars kurang menyengat malah dia dilihat kurang stamina ketika beraksi di atas pentas.

Acara diteruskan dengan persembahan Ismail Izzani melalui lagu Sabar, Perfect dan Luar Biasa.

Persembahan Ismail juga kurang berkesan kerana memilih menggunakan ‘head microphone’ yang tidak sesuai dengan corak persembahan serta vokalnya.

Penyanyi asal Johor yang popular dengan genre Kpop, Uriah See mengejutkan peminat baru dengan persembahan bertenaga melalui lagu rancak Now or Never sambil menari dan bermain violin, All Of Me dan Di Mata Mu nyanyian asal Sufian Suhaimie.

PERSEMBAHAN Ismail Izzani kurang menyangat.
PERSEMBAHAN Ismail Izzani kurang menyangat.

Selepas itu, penyanyi remaja Farisha Irish pula memukau penonton dengan vokal yang hebat melalui lagu Semakin, Tak Malu dan Mantan Terindah.

Persembahan penutup daripada rapper nombor satu Malaysia, Joe Flizzow yang menyampaikan tiga lagu popularnya berjudul Sampai Jadi, Drop dan Apa Khabar.

JOE Flizzow akhiri konsert dengan Apa Khabar.
JOE Flizzow akhiri konsert dengan Apa Khabar.

Konsert berakhir kira-kira jam 11 malam dengan acara memotong kek ulang tahun JOOX oleh Pengarah Perkembangan Perniagaan JOOX, Angie Tan bersama barisan artis.

PENGARAH perkembangan Perniagaan JOOX, Angie Tan memotong kek sambil disaksikan barisan artis.
PENGARAH perkembangan Perniagaan JOOX, Angie Tan memotong kek sambil disaksikan barisan artis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 1:00 PM