KUCHING Jazz kembali selepas dua tahun ditiadakan.
KUCHING Jazz kembali selepas dua tahun ditiadakan.
Georgie Joseph


ACARA muzik dinanti ramai Kuching Jazz kembali berlangsung pada 28 dan 29 Oktober ini di Waterfront, Grand Margherita Kuching, selepas tertunda dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Kuching Jazz atau Kuching Waterfront Jazz Festival adalah acara muzik kebanggaan negeri bumi kenyalang yang sentiasa menarik peminat seluruh dunia.

Tidak ketinggalan, penghibur yang ditampilkan juga terdiri daripada nama-nama besar dan bertaraf antarabangsa. Tahun ini, penyanyi Indonesia, Afgan antara tarikan besar untuk beraksi.

Wakil penganjur, Mark Ferguson berkata pihaknya percaya acara itu bakal menghimpunkan pencinta muzik malah berbangga dapat kembali menganjurkannya.

"Kami amat berharap dan percaya Kuching Jazz akan mendapat sambutan hangat selepas dua tahun tidak dianjurkan. Dan kami juga percaya peminat festival ini serta genre muzik berbeza.

"Ini kerana acara itu nanti akan mengetengahkan penghibur yang diterbangkan dari beberapa negara seperti Australia, Indonesia, Singapura dan Thailand. Ia akan menjadi 'magnet' kepada peminat.

"Kami berbangga kerana dapat kembali menganjurkan Kuching Jazz dan barisan penghibur yang tak kalah berpengaruh pada dua hari acara itu nanti," katanya.

AFGAN menjadi artis tarikan utama kali ini.
AFGAN menjadi artis tarikan utama kali ini.

Afgan tidak disangkal memiliki profil cukup besar dalam dunia seni nusantara. Vokal merdunya menerusi lagu hit termasuk Sudah dan Jodoh Pasti Bertemu sentiasa dinantikan peminat.

Selain penyanyi cukup berpengaruh itu, Kuching Jazz juga turut menampilkan barisan penyanyi jazz hebat. Mereka termasuk Noryn Aziz, Leon Sapphire, Ta'Dan, Ky Den dan Ushera.

Turut menyerikan acara itu dari luar negara adalah Phum Viphurit dari Thailand yang memiliki pengikut tersendiri. Begitu juga Freyja Garbett (Australia) dan penampilan Dawn Wong & The Ark Royal (Singapura).

Penampilan artis luar ini pastinya menyemarakkan lagi kehadiran peminat kelak. Bukan sekadar peminat tempatan bahkan dari luar negara juga tidak mahu lepaskan peluang berhibur di pesta muzik jazz terbesar itu.

"Pengunjung akan mendapatkan pengalaman berbeza dalam penganjuran festival ini termasuk persembahan dari Afgan yang tentunya lain daripada persembahan sebelum atau akan dilakukannya pada masa terdekat," kata Mark lagi.

Terdapat banyak aktiviti lain turut berlangsung selain konsert nanti. Festival itu akan dimeriahkan juga dengan jualan gastranomi dan kraftangan yang dijual di bazar disediakan.

Memasuki tahun keempat penganjuran, Kuching Jazz adalah acara berbeza dengan Borneo Jazz Festival yang diadakan di Miri. Masing-masing menjadi acara kebanggaan negeri itu.

Terdahulu, ia pernah diserikan penyanyi hebat lain antaranya Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid, Tompi, Kunto Aji, Baihana, Carmen Souza Trio, Siti Navarro, Harvey Malaihollo, Dayang Nurfaizah dan Ning Baizura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 6:12 AM