BIHZHU pertaruh lagu Jiwa Perkasa buat penggemar muzik.
BIHZHU pertaruh lagu Jiwa Perkasa buat penggemar muzik.
Norhayati Nordin


ASING daripada pendengaran, bukan bermakna tidak pernah wujud dalam industri muzik tempatan. Namun, itu kelainan karya nyanyian Bihzhu yang lebih mendapat tempat di hati peminatnya di luar negara.

Namun, apa dirasakan wanita ini adalah setiap peluang diperolehnya sebagai penghargaan untuk bakat besar yang berjaya menawan peminat dari negara luar seperti India dan Korea Selatan.

Apa pun, pembabitan Bihzhu atau sebutan namanya Bee Choo dalam bidang muzik tanah air sudah agak lama. Tanpa diduga juga, Bihzhu sudah 17 tahun membawa muziknya berkelana di seluruh pelosok dunia.

Cuma dalam pasaran muzik tempatan saja namanya kurang dikenali, sekali gus bakat seni Bihzhu umpama kurang menyerlah dan boleh dianggap masih baharu. Apa pun, Bihzhu mengambil pendekatan positif dan dia terus berkarya.

Umpama satu ketetapan masa ditunggu-tunggu sudah tiba, kini karya lagu dipertaruhkan Bihzhu untuk penggemar muzik tempatan diterima dengan tangan terbuka menerusi lagunya berjudul Jiwa Perkasa.

Bihzhu berkata, lagu Jiwa Perkasa adalah karya yang dilahirkan setahun lalu ketika banjir besar melanda negara. Katanya, kejadian itu membuatkan dia sentiasa teringat semangat yang wujud mengenai perpaduan, keharmonian dan pertalian erat sesama rakyat.

"Ketika bencana banjir pada Disember tahun lalu itu, saya juga dapat menjadi sukarelawan dan bergabung serta bertemu ramai orang tidak mengira bangsa dan usia. Ini menunjukkan betapa harmoninya ikatan sesama kita, rakyat Malaysia.

"Biarpun tidak saling mengenali satu sama lain, tapi masih memberi semangat dan membantu. Saya juga ingat lagi, ada seseorang mengenali saya ketika membantu membungkus barang di PJ Gudwara.

PENGKARYA lama, Bihzhu sudah 17 tahun terbabit industri seni.
PENGKARYA lama, Bihzhu sudah 17 tahun terbabit industri seni.

"Saya turut diminta menyanyi dan permintaan itu ditunaikan dengan menyanyi sedikit lagu I Am Enough dan tiba-tiba semua ikut menyanyi sama. Ia seperti magis, yang membuat saya sedar muzik juga memainkan peranan dalam mental, emosi dan komuniti kita," katanya.

Bihzhu mengakui dia amat gembira dan teruja melahirkan lagu Jiwa Perkasa. Jelasnya, penghasilan Jiwa Perkasa mengangkat sifat harmoni dan semangat adiwira rakyat.

Malaysia dengan disemat mimpi besar yang sama sebagaimana banyak karya seninya menerawang jauh sehingga Indonesia, Korea Selatan, Australia, India dan China dalan pelbagai festival muzik disertai.

Ternyata, lagu Jiwa Perkasa juga bukan satu-satunya karya Bihzhu yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Sebelum itu, dia juga terkenal dengan lagu Bright Veins pada 2015 yang mempunyai keunikan instrumen gamelan di dalamnya.

Malah, Bihzhu juga mempunyai lagu popularnya yang lain seperti Chendering, Alive, Aramaiti dan Tainted Temples. Bahkan, karya lagu ini juga melayakkan Bihzhu menerima pelbagai pengiktirafan di Anugerah Lagu Indie (ALI) dengan I Am Enough pada 2020.

Selain itu, satu lagi lagu Bihzhu, Alive juga memasuki peringkat akhir ALI 2021. Manakala, lagu Chendering pula menerima pencalonan di Anugerah

Industri Muzik 2022 (AIM 2022) bagi kategori Susunan Muzik Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 6:11 AM