SALWA berkolaborasi dengan rapper Red Rahimad menerusi lagu Makna.
SALWA berkolaborasi dengan rapper Red Rahimad menerusi lagu Makna.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI era 1980-an, Datin Salwa Abdul Rahman, 57, bukan nama asing dalam industri hiburan tanah air. Dia juga bertaraf legenda. Baktinya kepada dunia seni suara cukup banyak dan tak perlu diceritakan lagi.

Bakatnya mula dicungkil apabila dia menyertai pertandingan Bintang Radio Pujaan Negeri Johor 1985 ketika berusia 19 tahun. Selepas itu, beberapa lagi siri pertandingan disertai Salwa hinggalah dia dilamar menjadi penyanyi rakaman.

Bukan satu dua lagu dan album dilancarkan, tapi ada deretan karya yang dihasilkan hingga kekal 'evergreen' selain masih menjadi siulan peminatnya.

Memiliki suara lunak merdu adalah ciri khas Salwa atau yang mesra disapa Kak Wa. Biarpun usianya menghampiri enam dekad, lantunan vokalnya itu tetap sama, sekali gus menjadikan Salwa Abd Rahman tiada duanya.

Kali terakhir Salwa juga isteri kepada bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Subadron Abdul Aziz muncul dengan lagu adalah enam tahun lalu menerusi single I Miss You.

Terbaharu, Salwa kembali memeriahkan industri muzik dengan lagu dan muzik yang lebih segar berjudul Makna hasil ciptaan sepenuhnya oleh Red Rahimad, Pown Hasril, Otromen, Aman Nassim dan Ariff Peter.

Menariknya, lagu yang diterbitkan oleh syarikat rakaman COF Music itu turut menampilkan Salwa berkolaborasi dengan penyanyi dan rapper muda Red Rahimad.

SEMANGAT Salwa terus menyanyi dengan adanya sokongan suami dan anak-anak.
SEMANGAT Salwa terus menyanyi dengan adanya sokongan suami dan anak-anak.

Salwa berkata, kemunculannya menerusi lagu Makna adalah rezeki selain menyifatkan kolaborasi bersama Red Rahimad satu lagi pengalaman baharu buat dirinya.

"Kata orang rezeki memang tak salah alamat. Sebenarnya saya dah mula nak kurangkan pembabitan dalam bidang seni ini selain sudah kurang berminat nak keluarkan album atau lagu sebenarnya. Tapi, anak saudara saya iaitu Pengarah Urusan COF Music, Aman Nassim yang nak sangat saya untuk keluarkan lagu terbaharu bersama dengan Red Rahimad.

"Jadi, semangat itu datangnya daripada anak saudara saya sebenarnya. Kalau pada saya semangat untuk menyanyi tu sudah 50/50 tapi saya tetap buat 'show'. Apabila dah diberikan lagu dan lirik, saya tengok macam sesuai dengan jiwa walaupun ada penyanyi rap di situ. Tapi saya di bahagian yang lain iaitu dangdut.

"Lagu ini ada rentak latin pop dan dangdut sikit. Rasanya ia bersesuaian dengan saya. Pada mulanya saya ingat kena rap hingga tak tidur satu malam tapi rupanya tak perlu. Jadi inilah bahagian saya dan hip hop pula Red Rahimad. Saya rasa teruja bila diundang untuk bernyanyi bersama Red Rahimad. Ia satu percubaan baharu dan kelainan dalam hidup," kata Salwa yang mengakui sedikit 'gabra' ketika proses rakaman dijalankan.

Namun begitu, Salwa menjadikan kepercayaan diberikan untuk merakamkan lagu Makna bersama Red Rahimad sebagai peluang yang tidak boleh dipersia.

Pada masa sama, Salwa berterima kasih kepada suami dan anak yang sentiasa menyokong kerjaya seninya dari mula sampai sekarang.

Lagu dan video muzik Makna yang dilancarkan secara rasmi pada 17 Jun lalu sudah boleh ditonton di saluran YouTube COF Music.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 6:11 AM