BINTANG Tik Tok, Alia kini ada 134,000 pengikut di media sosial berkenaan.
BINTANG Tik Tok, Alia kini ada 134,000 pengikut di media sosial berkenaan.
Norhayati Nordin


Nama bakat baharu seni suara tanah air dikenali Aidilia Hilda Abdul Halim, 26, mungkin masih 'hijau' dalam kalangan pendengar muzik tempatan.

Bagaimanapun, wanita yang mesra disapa Alia ini semakin menjadi perhatian di platform TikTok kerana lagu solonya berjudul Tak Mau Mau dipilih bekerjasama dengan TikTok Malaysia.

Alia adalah antara penyanyi bertuah mendapat peluang daripada TikTok Malaysia untuk bekerjasama selepas Alvin Chong menerusi lagu Sayang Salmah dan kumpulan Dolla dengan lagu Watch Me Glow.

Mengulasnya, Alia berkata, dia menganggap segala peluang yang dimiliki sekarang adalah rezeki tak diduga. Ditambah, permulaannya mengatur langkah dalam industri hiburan sebagai pekerja belakang tabir

"Saya bermula dari bawah. Saya pernah menimba pengalaman sebagai pengurus produksi untuk penghasilan video muzik beberapa penyanyi seperti Baby Shima, Ariff Bahran dan Sarah Suhairi.

"Apapun, saya terlebih dahulu mendapat peluang daripada kumpulan Floor 88 untuk menjadi model video muzik lagu Zalikha mereka pada 2017 lalu. Bermula dari situ, peluang demi peluang saya raih," katanya.

Alia yang juga rakan baik kepada pemain keybord Floor 88, Eric Fuzi berkata, mereka mula mengenali antara satu sama lain ketika melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), beberapa tahun lalu.

"Di Aswara, saya mengikuti pengajian Ijazah Pengurusan Industri Seni yang terbabit dalam bidang kerja belakang tabir. Namun, pada masa sama saya sangat meminati bidang lakonan.

Karya genre pop itu dapat sentuhan melodi dan lirik  Achoi Floor 88 dan Oja
Karya genre pop itu dapat sentuhan melodi dan lirik Achoi Floor 88 dan Oja

"Justeru, apabila Eric mempelawa untuk menjadi model video muzik Floor 88 sebagai Zalikha, saya terus terima kerana nak tolong rakan. Alhamdulillah, lagu itu popular dan saya dapat jugalah merasa tempiasnya.

"Hingga kini, masih ada peminat Floor 88 yang ingat pada saya sebagai Zalikha. Oleh itu, apabila dapat peluang jadi penyanyi sekarang, saya nekad mahu berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Berbicara mengenai lagunya, Tak Mau Mau, Alia berkata, ia karya bergenre pop yang istimewa kerana mendapat sentuhan melodi dan lirik daripada Achoi Floor 88 dan Oja Gegar Vaganza.

"Sebagai penyanyi baharu yang hendak membina nama dan bakat dalam kerjaya seni, saya amat berbesar hati dapat menyanyikan lagu Tak Mau Mau. Liriknya sangat catchy dan kena dengan jiwa dan perwatakan diri saya yang ceria.

"Tidak sukar untuk saya memahami penceritaan lagu Tak Mau Mau ini, termasuk proses rakaman juga lancar. Saya sangat bersyukur, akhirnya dapat juga peluang keemasan ini," katanya.

Menurut Alia, kini dia berharap lagu Tak Mau Mau mesra radio dan diterima baik pendengar muzik tanah air.

Katanya, sebagai orang baharu, masih banyak kelemahan harus diperbaiki.

Lagu Tak Mau Mau sudah dilancarkan di YouTube pada 16 November lalu dan setakat ini sudah mencatat lebih 300,000 tontonan dan masih tersenarai dalam #23' Trending di YouTube Malaysia.

LAGU Tak Mau Mau jadi taruhan pertama penyanyi Aidilia Hilda atau Alia.
LAGU Tak Mau Mau jadi taruhan pertama penyanyi Aidilia Hilda atau Alia.

Tular di TikTok

Bagi penggemar TikTok, pastinya sudah tahu mengenai #TakMauMauChallenge yang dilancarkan sejak beberapa minggu lalu dan tular di platform media sosial itu.

Sehingga kini, #TakMauMauChallenge juga sudah mencatat sebanyak 12.1 juta tontonan dan jumlah berkenaan diakui Alia sangat memberangsangkan.

"Terima kasih kepada semua warganet yang memberi sokongan positif terhadap #TakMauMauChallenge.

Terima kasih juga kerana terima lagu saya. Menerusi kejayaan ini, ia menjadi pemangkin semangat untuk saya terus aktif dengan lebih serius dalam kerjaya seni ini sama ada menyanyi dan berlakon," katanya yang turut mendapat sokongan keluarga.

Menurut Alia, dia ingin menjadi serba-boleh dalam bakatnya. Apatah lagi, dia sendiri yakin dengan bakat dimiliki tetapi harus berani mencuba.

Alia berkata, dia juga pernah menyertai beberapa pertandingan pencarian bakat sejak berusia 18 tahun. Namun, ketika itu mungkin belum rezeki dan dia akhirnya buat keputusan fokus pada pengajian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 8:54 AM