WANI Kayrie
WANI Kayrie
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie, 22, puas dapat mencabar dirinya menyanyikan lagu popular kumpulan Slam, Gerimis Mengundang dalam versi muzik ska pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA 2022), baru-baru ini.

Wani Kayrie berkata, dia rela cuba menyanyikan lagu itu dalam versi ska bagi memenuhi permintaan pihak RTM selaku penerbit dan juga orkestra untuk mendendangkan sebegitu.

"Ia bukan dangdut, tapi versi ska. Saya cuba melaksanakan tanggungjawab menyanyikan lagu Gerimis Mengundang itu 100 peratus seperti diminta pihak RTM sebagai penerbit dan juga orkestra.

"Tapi, kalau ada pendengar yang rasa kurang sedap daripada versi asal dan tidak disampaikan dengan baik, itu peneriman masing-masing. Saya menghormatinya," katanya kepada Harian Metro.

Wani Kayrie berkata, idea menyanyikan dalam versi ska itu juga bukan datang daripadanya, tapi hanya menunaikan permintaan penerbit yang mahu dia menyanyi sebegitu.

"Saya pun tidak membantah kerana kemunculan malam itu untuk segmen persembahan lagu 'viral' bersama Haqiem Rusli dan Tajul. Jadi, saya berpendapat wajar juga beri sedikit kelainan untuk lagu itu (Gerimis Mengundang)," katanya.

Lagu lain turut dinyanyikan mereka bertiga pada persembahan itu ialah Tiara nyanyian asal kumpulan Kris, Rindu Serindu Rindunya (Spoon) dan Mengusung Rindu (Spin). 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 8:17 PM