TERUS dicari penerbit filem meskipun umur cecah 50 tahun.
TERUS dicari penerbit filem meskipun umur cecah 50 tahun.
Amirul Haswendy Ashari

Andai dilontar soalan dalam laman sosial, siapakah pelakon lelaki tempatan paling sesuai membawakan watak aksi? Pasti ramai mencadangkan Datuk Rosyam Nor atau Faizal Hussein.

Dan, siapa sangka pada usia 50 tahun, Faizal yang sudah membintangi 42 filem terus menjadi rebutan penerbit filem tempatan.

Faizal ketika ditemui berkata, dia mampu bertahan kerana sepanjang berlakon, dia tidak pernah memberi penonton kepuasan 100 peratus.

“Biar kerja saya keluar pada waktunya saja dan jangan terlalu sogokkan peminat. Mungkin disebabkan itu saya masih bertahan selain tidak menjadikan usia sebagai penghalang.

“Aksi yang saya boleh buat ketika berusia 18 tahun dulu masih mampu dilakukan pada usia sekarang,” katanya.

Faizal percaya dia sering dikaitkan dengan watak aksi kerana kerap melakonkan watak sedemikian sejak dulu. Namun, dia tidak terlalu memilih asalkan skrip dan jalan ceritanya bagus.

Pun begitu, dia tetap berpeluang membawa watak melodrama seperti mana pernah dilakukan dalam filem Bunohan dan Longkai sebelum ini.

Bagaimanapun, apabila membabitkan watak yang klise seperti sering ditonton dalam drama tempatan, Faizal menolaknya dengan baik.

‘Sado’ tak semestinya hebat

Ditanya mengenai sebahagian besar pelakon muda ketika ini yang dilihat berlumba-lumba membina otot supaya tampil ‘sempurna’ tetapi pada masa sama melakonkan watak serupa saja, Faizal ada jawapannya sendiri.

“Saya tidak boleh salahkan mereka jadi begitu. Apabila mereka sudah mula diterima masyarakat dan stesen TV, mereka akan menjadi sibuk. Apabila terlalu sibuk, itu yang kita nampak hasil kerja mereka begitu saja sepertimana dilihat pada kaca TV.

“Macam saya pula, saya pilih satu projek pada setiap masa. Malah, projek selepas ini pun saya belum baca lagi sebab tidak mahu berkecamuk. Apabila buat dengan ‘heart and soul’ (hati dan jiwa), barulah kualiti kerja jadi lain,” katanya.

Katanya, segelintir pelakon sekarang hanya mahu kuatkan otot tapi tidak pada kekuatan dalaman mereka sebagai lelaki.

Katanya, kelelakian itu datang daripada dalam, bukan daripada jasmani yang ‘sado’. Baginya, ia tidak nampak semula jadi apabila dipasangkan dengan heroin tempatan.

Apatah lagi heroin di Malaysia kebanyakan mereka tidak tinggi seperti pelakon wanita lain di negara asing.

Faizal akui pernah diminta untuk membina otot oleh segelintir produser tapi menolaknya dengan baik. Jelasnya, jika mereka mahu dia berbuat demikian, mereka perlu menyediakan bajet tertentu kerana untuk membina otot perlu membeli produk khasiat tambahan dan bayaran gimnasium.

“Kalau nak saya ‘sado’, kenalah sediakan bajet untuk itu! Saya lebih pentingkan kecergasan dengan mengamalkan kehidupan sihat melalui aktiviti berbasikal,” katanya.

Ramai pengikut Instagram bukan ukuran

‘Trend’ produser filem dan drama yang mementingkan jumlah pengikut besar dalam laman sosial sebagai syarat berlakon adalah tidak sihat.

“Tak semestinya ada pengikut ramai, filem lakonannya berjaya. Padahal tidak semua pengikut dalam laman sosial akan ke pawagam untuk menyokong filem lakonan kita.

“Namun, apabila dunia sudah jadi macam ini, suka atau tidak, kita terpaksa bermain dalam permainan itu,” katanya.

Faizal yang tidak mempunyai akaun facebook, kecuali Instagram terpengaruh dengan tindakan Sharifah Amani dan Azhan Rani yang terlebih dulu menggunakan media sosial sebagai ruang promosi filem atau drama lakonan mereka.

Katanya, mereka memberitahu kepentingan media sosial untuk beritahu peminat bila drama atau filem lakonannya keluar.

“Sebaliknya, apabila memuat naik foto bersama keluarga, lebih ramai yang tekan ‘like’. Tapi saya umpan mereka (peminat) dengan keluarga kerana fokus utama adalah promosi kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:25 AM