AKUI tercabar berlakon dengan Nora Danish.
AKUI tercabar berlakon dengan Nora Danish.
Oleh Amirul Haswendy Ashari


Watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986 berjaya menaikkan nama Faizal Hussein hingga menjadi kegilaan remaja waktu itu.

Memulakan langkah di pentas lakonan sejak 1982 menerusi filem Senja Merah arahan bapanya, Allahyarham Hussein Abu Hassan, nyata Gila-Gila Remaja yang juga arahan bapanya memberi impak besar kepadanya.

Sejak itu dia sering mendapat perhatian dan membintangi beberapa filem yang menampilkan dirinya memegang watak protagonis seperti Tak Kisahlah Beb, Tuah, Bayangan Maut, Kanta Serigala, Fantasi dan Litar Kasih.

Hampir tiga tahun tidak muncul dalam filem, Faizal ditawarkan watak antagonis melalui Leftenan Adnan. Percubaan ini berhasil dan membawa kepada pelbagai watak hitam yang dibawa dalam filem mahupun drama.

Malah, watak Ilham dalam filem Bunohan membawa kejayaan besar kepadanya apabila diiktiraf Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25).

Anak pasangan Hussein dan Mahyon Ismail ini boleh berbangga kerana darah seni yang mengalir dalam diri serta aura dimiliki membuatkan dirinya masih berdiri gah dalam industri hiburan sehingga kini.

Pada usia 47 tahun, Faizal masih ‘laku’ sebagai pelakon dan pelbagai watak berjaya dibawa. Bagaimanapun, filem terbarunya, Gudang Kubur arahan Eyra Rahman bukan saja genre seram pertama dijayakan, malah mengundang rasa kekok kepadanya.

Faizal akui tercabar kerana perlu melakonkan watak romantis bersama pelakon jelita, Nora Danish.

Apatah lagi selama lebih tiga dekad dalam dunia lakonan, Faizal jarang mendapat tawaran memegang watak romantis kerana sering disogok dengan watak antagonis.

“Melakonkan watak romantis dengan Nora memang cabaran besar buat saya. Selepas membaca skrip, saya bertanya isteri sebab perlu melakonkan adegan romantis dengan Nora.

“Isteri saya kenal siapa suaminya dan kami tidak ada masalah kerana faham ia tuntutan watak,” katanya.

Kata Faizal, apa yang buatkan dia tertarik berlakon dalam Gudang Kubur sebab ini juga filem seram pertamanya dan dapat pula berganding dengan pelakon berkaliber, muda dan ramai pengikut seperti Nora.

Berkahwin dengan pelakon Suhaila Sulaiman dan mempunyai dua cahaya mata, Faz–ryn, 9, dan Fazrick, 6, tanpa berselindung Faizal akui anaknya turut menunjukkan minat dalam bidang seni.

“Apabila mereka menonton saya di televisyen atau filem, mereka teruja. Siap minta hantar mereka ke kelas taekwando.

“Si kakak juga sudah mula buka mulut mahu berlakon macam bapanya. Kalau ikutkan, saya tak mahu bagi sebab jadual mereka sendiri mengalahkan Faizal Hussein,” katanya.

Katanya, anaknya mempunyai jadual padat hampir setiap hari. Selepas pulang dari sekolah kebangsaan, mereka perlu ke sekolah agama pada sebelah petang. Kemudian latihan taekwando dan tusyen pada hari tertentu.

Andai dibenarkan ke lokasi penggambaran sekalipun, hanya pada waktu cuti sekolah dan mengambil masa sehari dua.

“Anak saya yang sulung mula terbabit dalam projek iklan komersial sejak usia lapan tahun. Memang saya izinkan, cuma sebagai bapa, saya rasa kasihan sebab mereka terpaksa bekerja dalam jangka masa lama.

“Pengalaman berlakon dengan pelakon kanak-kanak membuat–kan saya tahu bagaimana keadaan mereka di lokasi. Memang buat saya rasa kasihan,” katanya.

Sebagai pelakon yang lebih 30 tahun bergelumang dalam dunia lakonan, Faizal hanya ketawa apabila ditanya sama ada anaknya mempunyai bakat berlakon.

Katanya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Cuma saat ini, dia mahu anaknya memberi tumpuan penuh pada pelajaran terlebih dulu sebelum fokus pada dunia lakonan yang menjadi darah daging keluarganya sedari dulu.

Selain ibu bapanya, kakak–nya, Dila juga bergiat dalam lakonan dan belakang tabir, manakala seorang lagi kakaknya, Fairuz memilih bidang nyanyian. Tidak hanya keluarga terdekat, sepupunya, Datuk Rosyam Nor juga insan seni dikagumi.

Selepas lebih 30 tahun berlakon, Faizal akui, jauh di sudut hati tersimpan hasrat untuk mencuba bidang pengarahan pula.

Katanya, kalau diikutkan, keinginan bergelar pengarah drama atau filem itu memang ada tetapi sehingga kini masih ramai produser mahukan dia berada di skrin sama ada filem atau TV.

“Saya layankan dulu sehingga saya betul-betul bersedia untuk duduk di kerusi pengarah,” katanya.

Kata Faizal, dia juga bakal beraksi dalam filem terbaru arahan Raja Mukhriz genre aksi drama. Filem aksi bajet besar itu adalah genre filem yang sudah lama dinantikannya selepas muncul dengan filem Bunohan arahan Dain Said yang turut mengangkat namanya di festival filem dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:07 AM