Jurey Latiff Rosli.
Jurey Latiff Rosli.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) bimbang apabila masih tidak ada sebarang keputusan perolehan rancangan TV swasta oleh RTM.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, kebimbangan itu membabitkqn lebih 2,000 syarikat yang terbabit dalam sesi 'pitching' yang diadakan pada Jun lalu.

"Setiap tahun secara umumnya RTM akan membuat perolehan dua kali bagi perolehan rancangan swasta tetapi tahun ini hanya sekali dan ini membimbangkan PTVM kerana majoriti ahli bergantung kepada perolehan program TV di RTM.

"PTVM berharap kerajaan lebih prihatin dalam memastikan peruntukan yang secukupnya diberi kepada RTM bagi memastikan RTM dapat memberi program terbitan syarikat tempatan seterusnya membantu perkembangan industri kreatif tempatan.

"Setiap tahun PTVM membangkitkan isu peruntukan perolehan pembelian rancangan TV di RTM dengan memohon Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri memperuntukkan bajet yang secukupnya bagi menampung tiga saluran di RTM," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jurey, pada sesi libat urus industri kreatif bersama Timbalan Menteri Kewangan baru-baru ini juga PTVM memberikan cadangan penambahan bajet di RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta cadangan ekosistem yang mampu memacu industri kreatif menjadi penyumbang Keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"PTVM sangat berharap kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) memandang serius isu perolehan ini dengan mempercepatkan pengumuman syarikat yang terpilih agar dapat meneruskan kesinambungan hidup.

"Harapan kami RTM dapat membuat perolehan sebanyak dua kali setahun supaya lebih banyak syarikat dapat peluang untuk terbabit membekalkan program kepada RTM," katanya.

Dalam masa sama, Jurey mewakili PTVM  berharap kementerian mengkaji semula sistem perolehan dengan mewujudkan kaedah perolehan yang lebih efektif.

"Klasifikasi syarikat A,B dan C seperti mana yang dilakukan dalam industri pembinaan oleh CIDB berdasarkan 'track record', kemampuan kewangan dan kepakaran syarikat bagi memastikan syarikat yang mendapat perolehan RTM dapat menerbitkan program yang berkualiti sesuai dengan bayaran tinggi yang dibuat RTM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2022 @ 8:05 PM