JUREY Latiff. FOTO Arkib NSTP
JUREY Latiff. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berharap kerajaan memberikan peruntukan tambahan kepada agensi kerajaan seperti RTM, Bernama TV dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada pembentangan Bajet 2023.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff berkata, ia bagi memastikan lebih banyak penghasilan kandungan kreatif dapat dihasilkan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penggiat industri.

"Perkara ini amat penting memandangkan tahun lalu industri kreatif terkesan apabila peruntukan perolehan rancangan di RTM dan dana kandungan digital di Finas dipotong sehingga menjejaskan beratus buah syarikat penerbitan seterusnya melenyapkan peluang pekerjaan kepada beribu penggiat industri kreatif tempatan.

"Selain itu, PTVM berharap kerajaan dapat menyediakan dana untuk pembinaan studio 'outdoor' untuk set penggambaran program TV tempatan seperti di Korea Selatan dan China," katanya.

Menurut Jurey, bagi memastikan industri kandungan kreatif terus berkembang pesat, isu pemilikan Harta Intelek, suntikan dana yang mencukupi kepada stesen penyiar dan agensi kerajaan menjadi pemangkin industri kandungan kreatif tempatan.

"PTVM yakin dengan sokongan kerajaan dan perancangan yang komprehensif di bawah kepimpinan Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil, industri kandungan kreatif mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Harapan kami kerajaan lebih mengambil berat hal ehwal industri dengan lebih banyak melakukan libat urus antara kementerian, agensi dan persatuan industri bagi memastikan segala dasar kerajaan yang akan dilaksanakan mencapai objektif," katanya.

Dalam masa sama, bagi menjayakan harapan ini, PTVM mencadangkan penubuhan Majlis Kreatif Negara yang berperanan sebagai 'one stop center' bagi menghubungkan semua agensi di bawah KKD dengan pemain industri kreatif.

"Sebelum ini tidak ada penyelarasan antara agensi di bawah KKD dengan industri yang menyebabkan agensi yang terbabit tidak memperolehi maklumat dan keperluan penerbit dengan tepat.

"Sehubungan dengan itu, PTVM ingin memberikan cadangan ini bagi memastikan perancangan dapat dibuat dengan baik berkenaan dasar dan halatuju industri kandungan kreatif Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 5:17 PM