HETTY tampil bertenaga mempersembahkan lagu popular sepanjang zamannya.
HETTY tampil bertenaga mempersembahkan lagu popular sepanjang zamannya.
Syafil Syazwan Jefri


Menjengah usia karier lebih lima dekad, penyanyi legenda Indonesia berjaya mencuri hati bukan saja rakyat negara itu, malah namanya turut tercipta dengan hebat di Malaysia yang diumpamakan seperti rumah keduanya.

Bagi memberikan penghargaan kepada peminatnya di Malaysia, Hetty, 65, muncul sekali lagi di Kuala Lumpur dan kali ini menghiburkan peminat menerusi Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang, baru-baru ini.

Dianjurkan dengan konsep konsert makan malam, acara bertaraf lima bintang itu menyaksikan Hetty tampil bertenaga mempersembahkan lagu popular sepanjang zamannya di samping beberapa lagu saduran daripada penyanyi lain.

Kemunculan Hetty menerusi gerbang utama Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur dimulakan dengan lagu Rindu yang membuatkan peminatnya tidak mampu untuk diam di kerusi. Tentunya, persembahan itu umpama menyalurkan tenaga buat acara konsert itu.

Pentas seterusnya dihangatkan lagi dengan lagu seperti Hati Lebur Jadi Debu, Es Lilin dan Kuda Hitam yang tidak kurang popularnya di Malaysia.

Melodi Perpisahan seterusnya dipersembahkan oleh Hetty yang mesra disapa dengan panggilan Bunda Hetty itu. Tidak hanya itu, penonton dihiburkan dengan ucapan dedikasi yang diiringi montaj foto lama sahabatnya, Datuk Ramli MS.

PEMINAT tidak melepaskan peluang mengambil foto Hetty.
PEMINAT tidak melepaskan peluang mengambil foto Hetty.

"Persahabatan kami bermula sejak 44 tahun lalu dan kekal sehingga hari ini," katanya.

Sesekali Ramli yang berada di kerusi pengarah muzik tersenyum sambil menjalankan tugasnya memimpin pemuzik pada malam itu.

Turut mencuri tumpuan adalah video ucapan daripada sahabat Hetty yang juga pemuzik legenda tanah air, Datuk Seri Ahmad Nawab.

"Hetty adalah individu atau pemuzik yang bagi saya, sangat berdisiplin. Itu yang dapat menggambarkan susuk Hetty Koes Endang. Tahniah untuk penganjuran Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang ini," katanya.

Selain itu, Hetty juga mempersembahkan beberapa lagu saduran (cover) pilihannya yang turut mendapat permintaan dalam kalangan peminat. Antaranya lagu berjudul Kaulah Segalanya yang dipopularkan Ruth Sahanaya, Dia (Anji), Tiara (Kris), Widuri (Bob Tutupoli) dan Biar Bulan Bicara (Broery Marantika).

RAMLI memimpin pemuzik pada Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang.
RAMLI memimpin pemuzik pada Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang.

Menyentuh hati, lagu Dia turut diiringi dengan montaj yang mempertontonkan foto lama ibu bapanya, R S Koerniwulan dan Raden Endang Umar, sekali gus mencipta detik penuh emosi dalam dewan.

Konsert Hetty tentunya tidak lengkap sekiranya tidak dipersembahkan lagu wajib iaitu Kasih dan Berdiri Bulu Romaku yang sangat popular dalam kalangan pelbagai lapisan usia.

Lebih meninggalkan kesan, konsert pada malam itu turut menyajikan kejutan buatnya apabila turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahirannya ke-65.

Yang pasti, tentunya acara konsert ini meninggalkan kesan bukan saja kepada Hetty, tetapi juga seluruh peminat yang meminati dan mengagumi bakatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 6:16 AM