Hetty Koes Endang. FOTO Saifullizan Tamadi
Hetty Koes Endang. FOTO Saifullizan Tamadi
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang berkongsi mengenai rasa cintanya kepada Malaysia yang dianggap seperti rumah keduanya.

Hetty yang pernah menetap di Malaysia selama lima tahun, ketika ditemui berkata, detik paling dirindukan adalah ketika bulan Ramadan.

"Saya tinggal di Malaysia selama lima tahun dari tahun 1991. Tiga tahun saya di Damansara dan dua tahun di Johor. Malaysia dah jadi rumah kedua saya.

"Banyak kenangan yang saya rindukan mengenai Malaysia dan paling saya rindukan adalah, juadah yang dijual di tepi jalan pada bukan Ramadan," katanya.

Menurut Hetty, 65, dia pernah meluahkan rasa rindunya buat Malaysia, kepada suaminya saat berada di Jakarta.

"Ketika dah kembali ke Jakarta, saya beritahu suami bahawa saya sangat rindukan Malaysia. Saya rindukan durian Musang King yang memang sangat terkenal di sini.

"Itulah antara kenangan manis dan paling saya kenangkan setiap kali berbicara mengenai Malaysia," katanya.

Terbaharu, Hetty bakal mengadakan Konsert Jubli Emas Hetty Koes Endang yang akan berlangsung pada 27 Ogos 2022 di Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur.

Konsert bersempena lima dekad keberadaannya di dalam industri itu juga akan turut menampilkan Datuk Ramli MS sebagai pengarah muzik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 3:18 PM