Hetty bersama cucu lelaki sulungnya, Arlo Astrodistira Arsanda. Foto Instagram Hetty Koes Endang
Hetty bersama cucu lelaki sulungnya, Arlo Astrodistira Arsanda. Foto Instagram Hetty Koes Endang
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penghibur legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, 64, akur dia terpaksa berjauhan seketika dan merindui cucu lelaki sulungnya, Arlo Astrodistira Arsanda, kini berusia tiga bulan kerana harus berada di Malaysia.

Hetty yang mesra disapa dengan panggilan Bonda berkata dia akan berada di negara ini sehingga Januari 2022 kerana terikat dengan tanggungjawab sebagai juri tetap program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang membuka pentasnya malam ini.

Terdahulu, Hetty yang hadir pada sidang media GV8 secara virtual bersamanya sebelum ini berkata, walaupun berat hati untuk berpisah seketika dengan cucu tersayang dan keluarga, namun dia perlu profesional pada tanggungjawab digalasnya.

"Ikutkan hati memang sedih dah berat juga hendak berjauhan dengan cucu, Arlo dan keluarga. Tetapi, inilah pengorbanan saya yang harus dilaksana sebaik mungkin apabila sudah bersetuju menjadi juri GV8. Malah, sekarang mudah jika rindu boleh buat panggilan video saja.

"Lagi pula, saya hanya beberapa bulan perlu menetap di Malaysia kerana tanggungjawab ini. Dijangka sehingga Januari 2022, saya akan berada di Malaysia sehingga pertandingan selesai. Insya-Allah, saya okey.

"Malaysia juga di hati saya umpama rumah kedua kerana kita negara serumpun. Saya semestinya mempunya ramai rakan-rakan penggiat seni dan juga peminat-peminat yang menyokong saya di sini," katanya.

Meniggalkan seketika Jakarta dan menetap di Kuala Lumpur menjadi pilihan Hetty, berikutan ia tindakan terbaik untuknya dalam situasi penularan Covid-19 yang masih berterusan melanda seluruh dunia ketika ini.

Terdahulu, cucu sulung Hetty selamat dilahirkan pada 11 Ogos lalu. Ia hasil perkongsian hidup anak perempuannya, Afifah Qomariah Yusuf dan suami, Faldo Arsa Da Aziz yang bernikah pada 21 November, tahun lalu.

Bagi GV8 kali ini yang disiarkan secara labgsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) akan dapat ditonton di Astro Ria, jam 9 malam yang dihoskan Nabil Ahmad bersama Jihan Muse.

Selain Hetty, dua lagi juri tetap yang akan menilai peserta selama 10 minggu ialah pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Barisan peserta GV8 pula ialah Datuk Fazley Yaakob, Nikki Palikat, Aweera, Adibah Noor, Azan Scan, Shidee, Suki, Nico, Bandi Amuk, Ani Mayuni, duo pelawak Saiful Apek dan Yassin Senario, termasuk Upiak Isil dari Indonesia dan Aliff Aziz (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 6:44 PM