AZIZUL Haqim
AZIZUL Haqim
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Tindakan juri Gegar Vaganza 8 (GV8) dari Indonesia, Hetty Koes Endang naik ke pentas memberi tunjuk ajar kepada peserta, Adibah Noor dan Nikki Palikat, Ahad lalu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat seni tanah air.

Penyanyi, Azizul Haqim yang juga juara kategori Irama Malaysia program realiti 3 Juara tidak bersetuju dengan kenyataan pelakon, Adlim Aman Ramli yang menganggap tindakan Hetty itu sebagai sesuatu berlebih-lebihan.

Azizul yang menulis komen di Instagram Gegar.my yang memaparkan video pendek ketika sesi wawancara bersama Adlin berkata, situasi demikian adalah perkara biasa dalam program realiti di Indonesia dan sebab itu mereka mampu menjadi penyanyi berkualiti.

"Bang, sebab itulah 'standard' artis Indonesia jauh berbeza dengan artis kita. Minta maaf ya, bang. Kualiti nyanyian serta penghasilan persembahan mereka 'tip-top'. Sebab mereka diajar secara langsung di atas pentas. Memang itu budaya di Indonesia," tulisnya.

Azizul yang pernah mewakili Malaysia dalam program realiti D'Academy Asia 3 (DAA3) di Indonesia turut berkongsi pengalamannya bertanding di sana.

"Saya salah seorang bekas peserta yang pernah bertanding di sana, dan serius, banyak ilmu yang saya dapat apabila juri memperbaiki mutu nyanyian serta persembahan saya secara langsung di atas pentas.

"Bukan saya saja yang dapat ilmu, tapi penonton di dalam studio serta di rumah pun turut sama dapat ilmu serta 'input' yang baik.

"Lagi satu, dia Hetty Koes Endang, bang. Saya ulang, dia seorang Hetty Koes Endang. Pengalaman serta penguasaan teknik nyanyian dia memang 'superb'. Jadi, berhentilah memalukan diri abang dengan kenyataan-kenyataan begini. Minta maaf sekali lagi," tulisnya.

Di Instagram, Azizul juga turut memuat naik video program realiti TV di Indonesia yang memaparkan peserta diberi tunjuk ajar oleh juri.

"Niat saya kongsikan video ini bukan saya nak cakap pertandingan di Malaysia ini tak bagus. Tapi, kualiti program beginilah yang perlu dijadikan panduan. Dalam berhibur, tetap terselit pendidikan. Tak adalah berhibur semata-mata.

"Juri-juri yang dijemput bukan calang-calang. Dari Nassar, Bunda Rita Sugiharto, Dewi Perssik, Mama Ruth Sahanaya dan Soimah. Mereka ini ada nama yang sangat besar serta terbukti bakat mereka. Tapi, sesama mereka, boleh nampak tiada langsung riak sombong, angkuh, ego dengan kelebihan masing-masing," tulisnya.

Dalam video yang dimuat naik itu, Adlin menyelar tindakan Hetty yang mengajar teknik nyanyian kepada peserta GV8 di konsert minggu ketujuh, Ahad lalu.

"Bila kau buat 'live show', 'reality show', bila kau komen, kau jangan buatkan komen kau itu kelas vokal. Kau faham tak?

"Kat situlah kau nak mengajar akapela (acapella), kat situlah kau nak mengajar 'pitching', jangan buat macam kelas. Itu adalah 'show'. Itu terlebih dan salah tempat," katanya.

Ahad lalu, Hetty yang mesra disapa sebagai Bunda Hetty naik ke pentas selepas Adibah Noor membuat persembahan dan memberi tunjuk ajar kepada Adibah serta Nikki Palikat yang mana kedua-duanya menyampaikan lagu popular Hetty.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 5:22 PM