Tya Arifin
Tya Arifin
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan usahawan, Tya Arifin tidak sanggup untuk melakukan gimik ekstrim seperti menggunakan aset tubuh sebagai tarikan utama untuk menjual produk jamu miliknya.

Tya ketika ditemui berkata, dia bagaimanapun menghormati setiap strategi pemasaran yang dibuat sesetengah pengasas produk kecantikan bagi mencari keuntungan.

"Setiap usahawan yang mengeluarkan produk mempunyai sasaran pembeli, cara pemasaran sendiri selain tahu apa yang mereka mahukan. Setiap daripada kita berbeza dan saya hormati. Mungkin itu cara mereka. 

"Saya tidaklah sokong 100 peratus, cuma saya hanya nak fokus kepada diri sendiri dan bukan nak berniaga untuk tempoh pendek. Saya tahu kualiti produk saya. 

"Saya juga tak mahu fikir hanya nak viral, tapi lebih kepada penjenamaan produk saya. Jadi kenalah berfikir dalam skop yang lebih luas. Saya sendiri ada impian untuk bawa produk saya ke peringkat yang lebih besar," katanya ketika Majlis Pelancaran Produk dan Memperkenalkan Dutanya, Anna Jobling di Wisma Mutyara di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Tya juga menafikan mempunyai had untuk melakukan gimik sensasi kerana berada di dalam keluarga yang dikenali ramai.

"Ketika aktif berlakon di Indonesia sebelum ini pun saya tiada kisah sensasi, sebaliknya hanya fokus dengan kerja. Niat utama saya adalah untuk bantu keluarga. Saya bawa niat itu sampai ke hari ini. 

"Setakat ini tiada sebarang batas daripada mentua.  Cuma ia berbalik kepada diri sendiri untuk saya ambil berat mengenai perkara sedemikian. Selain itu saya kena tahu batas sebagai isteri dan ibu. 

"Saya ambil jamu sejak dulu. Kalau nak jadi orang lain rasa macam tak kena. Hujung-hujung mungkin saya akan jadi diri sendiri. Kalau bukan diri saya, memang takkan buat begitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 3:27 PM