Tya Ariffin (depan kiri) bersama keluarganya.
Tya Ariffin (depan kiri) bersama keluarganya.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Indonesia, Tya Arifin menolak tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dia cuba 'menempel' nama ibu mentuanya yang juga penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Tya berkata, dia menganggap kehadirannya dalam keluarga penyanyi popular itu sebagai hadiah yang Tuhan berikan. 

"Saya bersyukur dijodohkan bersama dengan Asyraf Khalid yang mana dia berasal dari keluarga yang ramai orang kenal termasuk Mak Iti (panggilan kepada Siti) . 

"Sebenarnya tiada istilah menempel namanya kerana saya memang menantu Mak Iti dan saya tak boleh nak nafikannya. Cuma saya anggap ini adalah satu hadiah apabila Tuhan beri saya rezeki untuk bersama keluarga ini. Lagipun saya memang mengagumi Mak Iti sebagai seorang figura yang hebat," katanya.

Menurut Tya, dia enggan mengambil pusing terhadap segala komen negatif yang mengaitkan dirinya dengan penyanyi ternama itu.

"Sebenarnya ada saja yang datang bertanya tapi saya jenis yang tak suka nak ambil hati sehingga nak jadikan ia sesuatu yang negatif kerana tak ke mana pun. Lagipun kita boleh kawal dan ambil perkara yang diperkatakan itu dari sudut yang positif. Alhamdulillah saya ada keluarga yang sangat menyokong," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tya kini sedang mempromosikan single terbaharunya berjudul Bagaikan Mutiara yang sudah boleh ditonton di saluran YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 3:52 PM