Baby Shima dan Aliff Syukri.
Baby Shima dan Aliff Syukri.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Komen netizen ini saya tak ambil kisah. Saya tak boleh kawal orang nak cakap apa, mungkin mereka yang banyak menonton (cerita tidak bermoral) dan berimaginasi," kata penyanyi sensasi, Baby Shima terhadap segelintir netizen yang mendakwa dia seperti pelakon lucah.

Dakwaan kurang manis itu diterima Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli selepas perkongsian 'teaser' lagu dangdut, Baby Sayang nyanyian duetnya bersama Datuk Seri Aliff Syukri di Instagram ahli perniagaan berkenaan.

Baby Shima berkata, lagu Baby Sayang itu pun mengisahkan pasangan yang 'angau bercinta' dan mereka mengharapkan hubungan dijalin berkekalan selamanya.

Menurut Baby Shima, menyanyi sambil bergelek adalah perkara biasa sebagai penyanyi dangdut.

Ditanya mengenai dakwaan dia bekerjasama dengan Aliff demi untuk mengejar 'trending' di YouTube, Baby Shima menjelaskan semua penyanyi masa kini yang keluarkan lagu mengharapkan single mereka 'trending' di media sosial dan platform digital.

"Kerjasama saya dengan Aliff pun sebenarnya tidak di rancang. Saya cuma dapat lagu itu dan apabila mendengar melodi dan lirik lagunya dah rasa 'best'. Sejak pada awal lagi, saya tidak tahu langsung siapa rakan duetnya sehinggalah ketika hari rakaman lagu dibuat.

"Apabila tahu Aliff ada rakan duet itu, saya okey saja. Saya yakin kami boleh bekerjasama dengan profesional kerana sudah saling memaafkan kira-kira setahun yang lalu atas perselisihan yang berlaku di Jakarta, sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Baby Shima berkata, walaupun mereka sudah berbaik, tetapi tidak pernah berkongsi mengenainya di media sosial.

Katanya, sebagai penyanyi dia juga tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa termasuk Aliff.

Terdahulu, kisah Baby Shima dan segelintir netizen Malaysia sentiasa bertali arus apabila segala tindakan dibuat penyanyi lagu Lalai dan Roadblock Hatiku itu di media sosial pasti tular dan mendapat kecaman netizen.

Baru-baru ini juga, Baby Shima dikecam segelintir netizen apabila bergelek ketika melintas jalan raya berhadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan membuat 'nyanyian semula' lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 4:10 PM