Penyanyi, Baby Shima
Penyanyi, Baby Shima
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Baby Shima mendedahkan pernah menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali namun mengambil pendekatan untuk tidak ambil pusing mengenai perkara itu.

Baby Shima atau pemilik nama penuh, Nor Ashima Ramli menjelaskan insiden pelakon Kamal Adli diserang sehingga cedera baru-baru ini, menjadikan Baby Shima lebih berhati-hati dalam setiap pergerakannya.

"Saya sudah terbiasa dimarahi dan dimaki oleh segelintir masyarakat tanpa sebab, jadi saya maklum bukan semua orang menyukai kita. Jadi, saya sudah bersedia dengan kemungkinan itu.

"Biarpun pernah menerima ugutan bunuh dan sebagainya, namun saya enggan terlalu ambil serius mengenai perkara itu. Jika tidak bagaimana saya hendak mencari rezeki seandainya terlalu takut kan?

"Oleh itu, saya mengambil pendekatan lebih berhati-hati jika ke mana-mana. Insya Allah, tidaklah sehingga ada yang ingin ke tahap ingin mencederakan saya," katanya kepada Harian Metro.

Baby Shima berkongsi perkara itu ketika ditemui di Majlis Buka Puasa dan Pelancaran Jelajah Marilah Pulang Floor 88 dan Xeno Entertaiment baru-baru ini.

Baby Shima menjayakan lagu Pulang Beraya bersama Nanasheme, Asad Motawh, Alyssa Dezek dan Amir Jahari.

Sering terpalit kontroversi, Baby Shima mengakui tindakannya sering kali disalah ertikan oleh segelintir pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 2:52 PM