Klip video lagu Sejenak Sendiri nyanyian Baby Shima cetus kontroversi. FOTO Instagram Baby Shima
Klip video lagu Sejenak Sendiri nyanyian Baby Shima cetus kontroversi. FOTO Instagram Baby Shima
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dangdut Baby Shima sekali lagi mencipta 'sensasi' apabila berkongsi klip video mempromosikan single terbaharunya, Sejenak Sendiri dengan menampilkan tiga penari lelaki yang didakwa muncul 'berseluar dalam'.

Menerusi perkongsian video pendek dimuat naik di Instagram itu, Baby Shima bagaimanapun menutup ruangan komen yang sekali gus tidak membuka ruang buat warga maya meninggalkan sebarang ulasan.

Menerusi kapsyen ditulis, Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli juga memaklumkan single Sejenak Sendiri itu untuk pasaran Indonesia saja yang diterbitkan syarikat rakaman naungannya di sana, Nagaswara.

Baby Shima dihubungi berkata, dia tidak mahu mengulas lanjut kerana ia sekadar promosi semata-mata untuk single Sejenak Sendiri yang dipasarkan di Indonesia.

"Saya tak nak ulas lanjut. Cukup sekadar saya terangkan pada kapsyen yang ditulis. Single Sejenak Sendiri adalah lagu saya untuk pasaran Indonesia.

"Lagi pula, itu hanya seluar pendek yang dipakai oleh penari berkenaan dan bukan seluar dalam seperti yang didakwa," katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan penari terbabit berasal dari Indonesia dan rakaman muzik video berkenaan turut dilakukan di negara terbabit.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Harian Metro terhadap muzik video penuh single Sejenak Sendiri dalam YouTube mendapati tiada adegan penari terbabit dipaparkan seperti perkongsian Baby Shima di Instagram.

Namun, Baby Shima turut memuatkan video promosi berkenaan di 'short story' saluran YouTube miliknya yang mendapati ada komen-komen berbaur positif dan sindiran ditinggalkan pelayar YouTube.

"Penari Aliff Syukri jgk (juga), bby shima ambk (ambil) penari lain la." menurut salah seorang yang memuat naik komen mengenai klip video itu.

"Pakai spender (seluar dalam) je," tulis seorang lagi pelayar.

"Lagunya sedap tapi penarinya tak kena dengan tajuk lagu," komen seorang lagi pelayar. Sebelum ini, Baby Shima juga mencetuskan kontroversi dengan mengaitkan nama 'Bang Jamal' yang juga menjadi single terbarunya hasil ciptaan Zai Hamzah yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Namun begitu, bagi insiden promosi lagu Bang Jamal itu, Baby Shima difahamkan sudah memohon maaf andai ada pihak merasa tertipu dengan kandungan yang dimuat naiknya di laman sosial.

Katanya, dia berpendapat kandungan yang dimuat naik itu hanya sebahagian daripada gimik menghiburkan peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 2:52 PM