Sabarudin Kudus. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Sabarudin Kudus. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah: Wajah mirip pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau menyebabkan calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (Dun) Rembia Sabarudin Kudus, 54, sering disalah sangka penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, dia sering disapa sebagai Shamsul Ghau Ghau ketika mendekati penduduk kerana wajahnya mirip pelakon yang baru-baru ini menerima pentauliahan mengajar al-Quran.

"Saya tidak kisah dipanggil dengan nama artis (Shamsul Ghau Ghau) itu, malah tidak berkecil hati atau marah kerana ia spontan di mata mereka.

"Hajat saya bertanding untuk membuat perubahan, terutama dalam kalangan anak muda bagi melahirkan lebih ramai usahawan baharu yang berkualiti, termasuk peniaga kecil yang berdaya maju," katanya yang menetap di Bukit Beruang dan bertanding menggunakan lambang kunci.

Sabarudin yang berasal dari Tengkera juga melihat saingan demokrasi yang positif membolehkan penduduk bebas membuat pilihan untuk menentukan wakil rakyat mereka kelak.

"Suasana politik hambar dan bergolak juga mendorong saya untuk bertanding, tambahan pula selepas mendapat sokongan daripada rakan dan keluarga yang memberi galakan.

"Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat, namun akan sedia berkhidmat jika dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini," katanya.

Sabarudin antara 22 calon Bebas bertanding pada PRN kali ini.

Dun Rembia menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Datuk Muhammad Jailani Khamis daripada Barisan Nasional, Zamzuri Arifin (Perikatan Nasional), Zamri Pakiri (Pakatan Harapan) dan K Murali (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 4:13 PM