WAKILI negara ke World Championship Of Performing Arts (WCOPA) dalam kategori vokal.
WAKILI negara ke World Championship Of Performing Arts (WCOPA) dalam kategori vokal.
Sudirman Mohd Tahir


Nama penyanyi muda Wani Kayrie kembali menjadi sebutan selepas kejayaannya mendapat 7A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Ia sekali gus menepis cakap-cakap segelintir pihak yang menganggap status selebriti dimiliki menghalang dia mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Tanpa usaha dan kerja keras mimpi tidak akan menjadi kenyataan. Malah, keputusan itu menjadikan Wani, 18, atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah jauh lebih baik.

Tidak hanya memasang cita-cita tinggi dalam pelajaran, Wani yang mula menyanyi pada usia enam tahun punya perancangan besar dalam kerjaya nyanyian.

Wani yang pernah popular menerusi lagu Jangan Jangan mengambil keputusan untuk melebarkan kerjaya seninya ke luar negara.

Bukan merajuk atau ingin membawa diri, tetapi Wani sentiasa mencari peluang baru untuk mengetengahkan bakat.

Baginya, usia sekarang adalah waktu sesuai untuk dia mengorak langkah lebih jauh.

“Julai depan saya bakal mewakili negara ke pertandingan antarabangsa World Championship Of Performing Arts (WCOPA) dalam kategori vokal. Ini kali kedua saya terpilih selepas 2012 ketika berusia 12 tahun dalamkategori vokal junior.

“Selain itu, saya juga merancang untuk ke Indonesia bagi menyertai pertandingan dangdut, D’Academy Asia musim keempat. Saya ingin menimba pengalaman baru sekali gus dapat melebarkan sayap ke negara orang.

“Bukan saya tidak mahu cuba program di negara sendiri, tetapi setiap kali nak cuba mereka kata saya sudah ada nama selain faktor umur.

“Jadi, saya anggap tidak ada rezeki. Disebabkan itu, saya ambil keputusan mencuba nasib di luar negara,” katanya.

Wani berkata, dia tidak mahu berputus asa, malah jauh sekali menyerah kalah. Prinsip Wani, tidak ada yang mustahil sekiranya sesuatu perkara itu dibuat secara bersungguh-sungguh.

Malah, penting bagi Wani juga untuk tidak bersikap hangat-hangat tahi ayam atau sekadar main cakap sahaja.

Apa yang pasti, Wani tidak mahu lagi dipandang remeh hanya kerana baru berusia belasan tahun.

Kata Wani, pengalaman dalam industri muzik cukup mematangkan dirinya.

“Sebelum ini orang anggap saya budak sekolah jadi kemampuan terbatas. Sekarang, saya sudah habis belajar jadi boleh fokus untuk sesuatu perkara. Namun, ramai tidak tahu sebenarnya saya sudah matang.

“Pengalaman berada dalam industri muzik sejak sekolah rendah mengajar saya banyak perkara terutama dalam pergaulan. Lagipun, saya juga suka berkawan dengan orang dewasa menjadikan pemikiran saya ke depan.

“Jadi, apabila sebut nama saya jangan ingat saya budak lagi. Abaikan faktor usia itu kerana apa yang penting sejauh mana pembawaan diri saya. Saya seorang yang serius dalam setiap apa dilakukan,” katanya.

Tak takut persaingan

Jika diukur dari segi pengalaman, Wani meninggalkan jauh kebanyakan penyanyi baru sekarang yang dikenali sebagai Budak Baru Nak Up (BBNU).

Namun, rezeki belum berpihak apabila namanya tidak sehangat bintang baru lain. Tambahan pula, lagu dipertaruhkan Wani bukan pilihan anak muda masa kini.

“Ramai minta saya untuk muncul dengan single ala 1990-an yang mendayu-dayu, tetapi saya tidak mahu. Saya tetap optimis dan yakin dengan genre sedia ada.

“Saya ingin mengekalkan keaslian dalam lagu. Pada masa sama, biar ada kelainan antara saya dengan penyanyi lain.

“Bukan takutkan persaingan, tapi saya percaya kepada rezeki. Memang seronok tengok rakan lain berjaya seperti sekarang, namun saya tidak boleh putus asa. Saya sentiasa berfikiran positif,” katanya.

Menurut Wani, dia juga pernah terfikir untuk melakukan sesuatu yang boleh tular supaya dirinya cepat dikenali, namun dia menyifatkan perkara itu bersifat sementara.

Jalan terbaik, Wani hanya ikut perancangan diatur syarikat rakaman Suria Records (SRC) selain menunggu material single baru.

Wakil boling Selangor

Dalam perkembangan lain, Wani kini kembali ke lapangan sukan boling bagi mencapai sasaran mewakili pasukan Selangor dalam kejohanan SUKMA dan seterusnya negara di Sukan SEA.

“Ramai tidak tahu saya sebenarnya atlet negeri Selangor sejak 2011. Namun, sejak aktif dalam bidang nyanyian, saya berehat sekejap. Sekarang, saya fokus latihan semula.

“Saya menyasarkan untuk terpilih ke peringkat kebangsaan. Sebelum ini saya terbabit dalam banyak kejohanan dalam negara dan peringkat negeri saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 1:55 PM