PELUANG berduet dengan 2 penyanyi Indonesia tambah keyakinan dalam bidang seni.
PELUANG berduet dengan 2 penyanyi Indonesia tambah keyakinan dalam bidang seni.
Oleh Michelle Gun

Meskipun menyanyi sejak berusia tujuh tahun, nama Wani Kayrie hanya dikenali selepas tampil dengan single Jangan Jangan yang kini menjadi siulan ramai.

Rezeki Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah semakin murah sejak bernaung di bawah syarikat rakaman Suria Records.

Lebih menarik, gadis berusia 15 tahun itu turut berpeluang berduet dengan penyanyi popular Indonesia, Pasha Ungu dan Afgan.

Menceritakan pengalaman bekerjasama Pasha dan Afgan, Wani berkata, dua penyanyi itu tidak kedekut ilmu.

“Peluang ini hadir selepas disyorkan SRC dan saya sangat menghargainya. Banyak perkara baru dapat saya belajar daripada Pasha dan Afgan.

“Pasha menasihati saya supaya sentiasa menghayati lagu dan menjadi diri sendiri. Paling penting perlu ada keyakinan diri,” katanya.

Wani ketika ditemui di konsert Era Sayang Sarawak pada Sabtu lalu mendedahkan Afgan yang disangka pendiam rupa-rupanya peramah dan mudah mesra.

“Kali pertama bertemu baru saya tahu dia banyak cakap dan seorang yang periang.

“Dia mengajar saya teknik kawalan vokal ketika menyanyi. Ilmu itu sangat berguna dan akan saya praktikkan,” katanya.

Pada konsert yang berlangsung di Padang Merdeka, Kuching itu, Wani berduet lagu Kamu Yang Aku Tunggu dengan Afgan.

Mengenai perkembangan terbaru kariernya, pelajar Sekolah Menengah (P) Sri Aman, Petaling Jaya itu bakal tampil dengan single kedua berjudul Jangan Pernah Pergi.

Selain itu, Wani kini sibuk dengan rakaman album sulung yang dijangka berada di pasaran hujung tahun depan.

“Album ini akan memuatkan lima lagu. Material sudah ada cuma beberapa lagu perlu diperbaiki agar lebih menarik didengar,” katanya.

Utamakan pelajaran

Memulakan karier seni pada usia muda, Wani sering diajukan persoalan berkaitan persekolahannya.

Menjelaskan perkara itu, Wani berkata dia meletakkan pelajaran sebagai keutamaan malah sesi latihan nyanyian dan undangan persembahan hanya dilakukan selepas waktu sekolah.

“Latihan vokal atau rakaman hanya dilakukan selepas waktu kelas dan saya mengulang kaji pelajaran pada sebelah malam,” katanya.

Wani mengakui pernah dikritik pengikut di laman sosial Instagram yang menasihatinya supaya fokus pada pelajaran.

“Saya ditegur selepas memuat naik berita berkaitan karier nyanyian di Instagram.

“Namun, saya tidak terkesan dengan kata-kata mereka kerana tidak pernah mengabaikan pelajaran mahupun ponteng kelas disebabkan kerja,” katanya.

Wani yang pernah mewakili Malaysia dalam World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat berkata, selain menyanyi dia turut berhasrat mempunyai kerjaya tetap apabila tamat sekolah kelak.

“Saya minat menyanyi sejak kecil dan tidak akan berhenti menceburi bidang ini.

“Seperti pelajar lain, saya juga ada cita-cita dan mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:00 AM