Norhayati Nordin


Usianya baru 16 tahun tetapi kematangan Wani Kayrie jelas terserlah, baik perwatakan mahu pun cara percakapannya.

Wani atau Syazwani Abdullah yang pernah menyertai program realiti Kamilah Bintang, bersikap terbuka dalam menerima kritikan peminat.

Mula dikenali dengan lagu Jangan Jangan, Wani juga tidak malu dan berkecil hati apabila ramai peminat menganggapnya gadis matang. Baginya, usia hanya angka.

“Saya dilihat matang mungkin disebabkan cara percakapan dan penampilan diri. Apapun, tak dinafikan saya juga suka berkawan dengan individu lebih berusia.

“Saya suka bertukar-tukar pendapat dan mendengar pandangan orang lain. Lagipun, berkawan de­ngan individu lebih berusia tidak mengehadkan komunikasi.

“Mereka terbuka untuk berbincang apa sahaja dan apabila memberi pendapat, ia lebih rasional. Itu membuatkan saya selesa,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Perempuan (P) Sri Aman di Petaling Jaya, Selangor ini juga mengutamakan pelajaran meskipun jadual seninya padat.

Katanya, walau sesibuk dan sepenat mana pun dia kerana memenuhi undangan menyanyi, ia tidak pernah dijadikan alasan untuk ponteng sekolah.

“Saya bertuah memiliki ibu bapa yang tegas dan mengutamakan pelajaran. Meskipun mereka menyokong minat saya seni, pelajaran tidak dilupakan.

“Terutama ibu yang akan memastikan saya ke sekolah setiap hari untuk menuntut ilmu. Ha­nya jika saya benar-benar sakit saja baru dibenarkan cuti.

“Malah, saya sendiri lagi seronok kalau ke sekolah setiap hari kerana dapat bertemu dengan guru dan rakan. Ia lebih membantu proses pembelajaran saya,” katanya.

Mengenai ada segelintir rakan seusia yang aktif dalam membina karier seni tetapi lebih selesa mengikuti sesi pembelajaran di rumah, Wani berkata, itu hak masing-masing.

Bagi dirinya, belajar di sekolah lebih selesa dan seronok. Katanya, dia mungkin bertuah kerana kebanyakan guru di sekolahnya sangat memahami.

“Boleh dikatakan saya mendapat sokongan positif daripada guru dan rakan apabila mereka tahu pembabitan serius saya dalam bidang nyanyian.

“Minat saya terhadap nyanyian sudah mula terserlah pada usia tujuh tahun. Sejak itu, banyak juga pertandingan nyanyian saya sertai,” katanya.

Wani juga akui tiada masalah membahagikan masa antara pelajaran dan karier seni. Mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) lalu, Wani mempunyai jadual belajar harian yang sudah diatur.

“Macam saya katakan, biarpun sibuk menyanyi tetapi belajar mesti diteruskan. Tiada sebab untuk saya meninggalkan pelajaran biarpun seketika.

“Ditambah pula saya ada cita-cita untuk digapai. Justeru, pelajaran sangat penting untuk jaminan masa depan lebih cerah dalam bidang kerjaya lain,” katanya yang ingin jadi anak seni yang berjaya dalam karier dan pelajaran. Oleh itu, Wani menyimpan impian untuk belajar hingga ke menara gading.

Selepas popular dengan Jangan Jangan, Wani teruja dengan kehadiran single baru, Berteman Saja hasil ciptaan komposer Zul 2 By 2 dan bergenre balada.

Katanya, memandangkan dia masih remaja dan bersekolah, lagu Berteman Saja dianggap sangat sesuai. Ia jauh berbeza daripada lagu Jangan Jangan.

“Lagu Jangan Jangan lebih ke arah menampakkan saya sebagai gadis matang yang sudah habis sekolah. Hakikatnya, saya baru tingkatan empat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:03 AM