PUTRA Amaris berharap dirinya dapat bergelar jutawan supaya dapat membantu lebih ramai golongan susah.
PUTRA Amaris berharap dirinya dapat bergelar jutawan supaya dapat membantu lebih ramai golongan susah.
Najiy Jefri

PELAKON Putera Amaris sentiasa memasang impian untuk bergelar seorang individu yang berjaya dan kaya demi membantu lebih ramai golongan susah.

Bagi jejaka berusia 37 tahun itu, dia tidak pernah berhenti berdoa agar Tuhan mengurniakan rezeki yang melimpah supaya sasaran untuk membantu lebih ramai individu yang memerlukan dapat dicapai.

"Sejak empat tahun menggerakkan kerja amal bersama pasukan saya semuanya saya lakukan kerana Allah SWT. Saya buat kerja-kerja amal ini untuk membantu orang yang susah. Jadi saya memang kena set diri 'aku kena kaya' untuk bantu lebih ramai bagi orang yang memerlukan.

"Dalam masa yang sama, saya juga bertuah kerana isteri juga adalah tulang belakang dan penguat semangat dalam menggerakkan program infaq, bersama-sama dengan pasukan sendiri.

"Saya pun belum lagi bergelar jutawan. Tetapi saya berdoa dan mengharapkan doa semua orang agar saya dikurniakan rezeki lebih untuk sama-sama saya kongsikan dengan orang yang susah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Amaris, program infaq yang pernah dijayakan menerusi kempen Sama-Sama Kenyang dengan kerjasama Pertubuhan Dapur Pasak Kuala Lumpur (Dapur Pasak) masih diteruskan.

"Program itu masih berjalan seperti biasa setiap hari. Kami tak berhenti. Sasaran kami untuk membantu asnaf dan artis veteran juga masih digerakkan termasuk usaha untuk mendapatkan rumah untuk artis veteran yang tak berkemampuan.

PUTRA Amaris ditemui pada majlis pelancaran  kempen Pelaris Challenge by Soleque Cosmetics yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.
PUTRA Amaris ditemui pada majlis pelancaran kempen Pelaris Challenge by Soleque Cosmetics yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

"Walaupun tanggungjawab kian bertambah, ia tak membuatkan saya rasa penat atau terbeban pun. Malah, rasa seronok dan teruja sebab ia juga berkaitan dengan program infaq dan amal khususnya golongan bumiputera.

"Saya tak cukup rehat atau tak cukup tidur pun tetap saya nak buat. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur untuk saya teruskan kerja-kerja amal ini dan harap Dia juga izinkan yang terbaik untuk usaha-usaha yang dijalankan," katanya.

Sementara itu, bercerita lanjut mengenai program Pelaris Challenge yang dijayakan bersama Soleque Cosmetics Malaysia dan Persatuan Aspirasi Primadona Putrajaya, Amaris berkata, cetusan idea itu adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menjana pendapatan dan kewangan.

Program yang digerakkan selama sebulan dan akan berakhir pada 3 Ogos ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM500,000.

Seiring dengan penganjuran itu, turut digerakkan ialah Program Infaq Wanita Muda Soleque x Putra Amaris dalam usaha membantu wanita muda, ibu tunggal dan golongan B40 yang memerlukan dengan meliputi kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 6:30 AM