Da'i Syed. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Da'i Syed. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pendakwah selebriti, Da'i Syed, 27, yang dilepas dan dibebaskan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta semalam memaafkan pihak yang mencaci dan memfitnahnya selama ini.

Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal berkata, selepas turun naik mahkamah, dia bersyukur apabila kes itu akhirnya selesai.

"Ada yang berpendapat ini tidak adil kerana saya tidak dihukum. Namun, saya sendiri tidak tahu menahu mengenai keputusan mahkamah dan menerima dengan berlapang dada.

"Tindakan untuk memaafkan mereka yang mengecam selama ini adalah untuk memberikan ketenangan kepada saya. Tidak dinafikan pelbagai andaian dan tohmahan dilemparkan," katanya.

Syed yang lega dan bersyukur dengan keputusan mahkamah itu berkata, dia akan lebih berhati-hati pada masa hadapan.

"Pengalaman direman selama beberapa hari tidak akan saya lupakan. Buat masa ini, tiada apa yang ingin saya luahkan kecuali bersyukur kerana keputusan berpihak kepada saya.

"Saya sangat menghargai kata-kata semangat dan sokongan serta tidak lupa buat pihak yang mendoakan kesejahteraan buat saya," katanya.

Terdahulu, Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Syed Amirul Syed Edros untuk melepas dan membebaskan Syed daripada kedua-dua pertuduhan itu.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berusia 22 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 6:05 PM