DAI Syed cipta lagu baharu.
DAI Syed cipta lagu baharu.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pendakwah selebriti yang mencetuskan kontroversi, Da'i Syed membuat kemunculan pertama selepas dibebaskan dengan bayaran ikat jamin RM35,000 di Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah Petaling Jaya pada 15 Disember tahun lalu.

Syed, 26, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful berkata, dia mendapat kekuatan dan semangat untuk bangkit semula atas izin Allah SWT.

"Seperti mana kita tahu ramai diuji seperti tidak dapat beli makanan, susu anak dan sebagainya. Memandangkan saya pun pernah diuji, jadi saya perlu bangkit. Jadi, semangat dan kekuatan itu daripada Allah. Disebabkan itu saya nak menjadi usahawan dan melakar kerjaya sebagai anak seni dengan berkarya dalam kehidupan. Memang susah, tapi Tuhan yang berikan semangat," katanya.

Syed didakwa atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul kehormatan di Mahkamah Petaling Jaya dan di Mahkamah Shah Alam pula dia menghadapi tuduhan merogol seorang wanita.

Sebutan kes di Mahkamah Shah Alam pada 16 Mac dan di Mahkamah Petaling Jaya pada 19 Mac ini.

Peguam Syed, Syed Amirul Syed Edros berkata, mereka hanya menunggu tarikh sebutan.

"Ketiga-tiga pertuduhan masih dalam proses. Perbicaraan akan dibuat apabila segala proses sudah selesai. Sehingga kes selesai ia akan mengambil masa.

"Berkaitan kes ini syarat diletakkan hanyalah jaminan dari mahkamah yang mana bagi memastikan Syed ke mahkamah setiap kali ada pengurusan dan perbicaraan kes.

"Mahkamah menetapkan Syed tidak boleh mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan yang akan digunakan dalam mahkamah. Selain itu tidak ada apa masalah untuk dia hidup seperti biasa dan teruskan kerjaya.

"Masyarakat perlu faham dia belum disabitkan salah. Jadi biarlah dia hidup seperti apa dimahukan. Pada saya tidak ada isu," katanya.

Syed muncul pada majlis sidang media secara maya sempena pelancaran single, Ya Habib dan pelancaran produk DYXY Ya Habib Collection.

Mengenai lagu hasil ciptaan Ryan Deedat dan lirik daripada Syed sendiri, lagu itu dihasilkan ketika dia berada dalam lokap.

"Lagu ini ditulis ketika dalam lokap selama 20 hari. Saya sempat buat lirik dan hasilkan melodi. Ini detik yang peminat tunggu," kata Syed.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 5:52 PM