Da’i Syed Shah Iqmal
Da’i Syed Shah Iqmal
Zaara Talita


Kuala Lumpur: "Perasaan saya ketika ini bercampur baur. Sebak, gembira dan pada masa yang sama syukur ke hadrat Allah SWT. Alhamdulillah…itu saja yang dapat saya luahkan pada ketika ini".

Demikian ucapan ringkas yang diberikan oleh pendakwah selebriti Da'i Syed selepas dilepaskan dan dibebaskan atas pertubuhan mencabul serta melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap seorang penuntut kolej swasta.

Dua tahun naik turun mahkamah, Da'i Syed nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 27, akhirnya menarik nafas lega selepas keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

"Tiada apa yang ingin saya luahkan pada ketika ini, hanya ucapan bersyukur kerana keputusan berpihak kepada saya.

"Hanya ucapan syukur kepada Allah SWT. Dalam pada itu saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan dari segi mental dan fizikal.

"Saya sangat menghargai kata-kata semangat dan sokongan serta tidak lupa buat pihak yang mendoakan sejahteraan buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Hakim Jamaludin Mat memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Syed Amirul Syed Edros untuk Syed Shah Iqmal dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan itu.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun.

Insiden berkenaan berlaku di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Oktober 2020.

Pada 19 Mac tahun lalu, Mahkamah Majistret membenarkan kes cabul yang dihadapi Syed Shah Iqmal dipindahkan ke Mahkamah Sesyen, untuk dibicarakan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 4:26 PM