LAYLA idam kembang kerjaya dalam profesion berkaitan kanak-kanak.
LAYLA idam kembang kerjaya dalam profesion berkaitan kanak-kanak.
Georgie Joseph


KETIKA sibuk dengan rencana karier seni, pelakon dan penyanyi Layla Sania enggan abaikan akademik.

Penuntut diploma jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Universiti Antarabangsa Unitar, Petaling Jaya itu gigih menghabiskan pengajiannya.

Menurut Layla atau nama sebenarnya Layla Sania Khairuzikri, 20, dia sangat sukakan kanak-kanak. Hakikatnya, dia selesa berkawan dengan kanak-kanak sehingga sekarang.

Disebabkan itulah juga dia berusaha mahu memastikan impiannya menyambung pengajian dalam bidang itu suatu hari nanti tercapai. Baginya, dia mendapat kepuasan luar biasa mendekati golongan itu.

"Sejak dulu lagi, saya memang sukar untuk bercampur dengan golongan yang lebih tua atau sebaya. Saya ada rasa canggung sedikit apabila memulakan sesuatu topik dengan mereka.

"Kalau pergi ke mana-mana majlis misalnya, saya secara automatik lebih memilih untuk bersembang atau melepak dengan kanak-kanak. Saya rasa lebih gembira kerana mereka memang takkan menghakimi saya.

"Sifat itu memang sudah terbenam kukuh dalam jiwa saya dan tinggi harapan dapat menceburi bidang pendidikan kanak-kanak. Saya rancang akan sambung pengajian bidang sama ke peringkat ijazah sarjana muda juga," katanya.

Berada di tahun kedua pengajiannya, Layla juga cuba sedaya upaya seimbangkan akademik dengan kerjaya seni. Walaupun agak mencabar, dia seboleh-bolehnya akan pastikan tidak ketinggalan sebarang kelas.

"Mujur sekarang ini kuliah pun dijalankan menerusi dalam talian. Pensyarah pun faham kalau ada kelas yang bertembung dengan jadual kerja serta sentiasa ambil berat sama ada saya mampu kendalikan masa.

"Bagaimanapun, itulah kelebihan apabila belajar menerusi talian. Walaupun ada kerja di luar, saya masih akan ikuti pembelajaran dan sebaiknya tidak mahu terlepas kuliah," katanya.

AMAT menghargai peluang keemasan diberi untuk membintangi filem Small Town Heroes.
AMAT menghargai peluang keemasan diberi untuk membintangi filem Small Town Heroes.

Tampil membintangi filem berjudul Small Town Heroes arahan Ryon Lee yang mula ditayangkan di pawagam semalam, Layla akui naskhah itu memang paling tepat untuk dirinya.

Mana tidak, dia dapat bergandingan dengan ramai pelakon kanak-kanak termasuk dua bintang utamanya, Chandler dan Roger.

Menurutnya, dia tidak rasa seperti bekerja langsung sewaktu penggambaran dibuat.

"Saya pertama kali bertemu dengan semua pelakon filem itu di lokasi penggambaran. Tugasan itu sudah seperti latihan amali untuk saya mendekati kanak-kanak.

"Pengalamannya memang cukup berharga kerana serta-merta saya terus jadi akrab dengan mereka. Bayangkan hari pertama, Chandler datang bersembang dan memeluk saya seperti sudah berkawan lama.

"Ikatan yang terjalin antara kami cukup akrab hingga ke akhir penggambaran. Bila sudah habis dan tak berjumpa mereka, saya memang sangat rindu serta tak sabar nak jumpa semula," katanya.

Melakonkan watak Cikgu Aishah, Layla berkongsi dia terus lakukan solat hajat sebaik mendapat tawaran berlakon filem itu.

Baginya, ia filem sulung yang paling sempurna buat dirinya.

"Dalam filem itu, saya kena bertutur bahasa Cina, ada kemahiran berlawan dan suka kanak-kanak pula. Ia memang mimpi jadi kenyataan. Pengarah pun suruh saya jadi diri sendiri saja," katanya.

Layla adalah antara bakat baharu yang cukup menonjol baik dalam lakonan mahupun nyanyian ketika ini. Mampu bertutur fasih dalam bahasa Mandarin, dia juga pernah menyertai program I Can See Your Voice Malaysia musim ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 6:30 AM