SMALL Town Heroes sarat dengan teladan, kongsi keindahan lokasi di Malaysia.
SMALL Town Heroes sarat dengan teladan, kongsi keindahan lokasi di Malaysia.
Georgie Joseph


APA saja perayaan pun, semua berhak meraikannya dengan hati yang gembira.

Baik yang masih punya keluarga tercinta mahupun sudah tiada siapa-siapa, semangat itu tetap ada.

Itulah pengarah Ryon Lee mahu tonjolkan dalam filem Small Town Heroes yang bakal ditayangkan pada Tahun Baharu Cina nanti.

Karya itu sarat dengan suntikan teladan dan mesej indah.

Mengambil inspirasi daripada pengalaman hidupnya sendiri, Ryon memutuskan untuk menjadikan topik anak yatim sebagai fokus jalan cerita.

Menurutnya, hero dalam cerita itu sendiri sebenarnya gambaran dirinya.

"Sewaktu kecil dulu, saya memang cukup rapat dengan rakan-rakan dari sebuah rumah anak yatim di kampung halaman saya. Ikatan yang terjalin itu cukup bermakna sehingga sekarang.

"Saya juga mahu dedikasikan filem itu kepada seorang sahabat yang sudah meninggal dunia. Secara jujurnya, watak hero dalam filem itu adalah mengenai cerita saya sendiri," katanya.

Menampilkan dua watak kanak-kanak iaitu Phua Chandler dan Roger Shak sebagai tunjang utama, Ryon mengakui sangat kagum dengan lakonan cemerlang mereka.

Pemilihan mereka cukup sempurna memegang watak sebagai Ah Feng dan Hero. Lakonan mereka cukup hidup dan sangat semula jadi.

KISAH anak yatim jadi tunjang filem ini.
KISAH anak yatim jadi tunjang filem ini.

KEHARMONIAN pelbagai kaum turut dipaparkan.
KEHARMONIAN pelbagai kaum turut dipaparkan.

Berkongsi mengenainya, Ryon berkata, dua pelakon itu dipilih daripada lebih 200 orang yang mencuba nasib dalam uji bakat di seluruh negara.

"Sebab utama saya memilih mereka kerana mereka kanak-kanak yang cukup cerdik. Selain itu, mereka juga berani tunjuk emosi yang cukup kuat tanpa dibuat-buat.

"Tak perlu saya ajar mereka bagaimana untuk berlakon. Sebaliknya saya banyak berborak dan mereka juga tak takut kongsi mengenai cerita hidup mereka sehingga menitiskan air mata," katanya.

Bukan setakat itu, Ryon juga mahu menjadikan filem terbabit sebagai medium mempromosi keindahan lokasi di Malaysia.

Penggambarannya banyak dibuat di Pulau Pinang dengan sinematografi menakjubkan.

Lokasi terbabit termasuk sebuah kuari terbengkalai di Kampung Guar Petai, Bukit Katak. Tempat berkenaan sangat terkenal kerana tasiknya yang berwarna biru kehijauan.

"Penggambarannya dilakukan sewaktu tempoh penularan pandemik dan perlu patuh arahan keselamatan. Maka, saya memutuskan untuk jadikan lokasi terbabit sebagai tempat penggambaran.

"Matlamat saya tidak lain untuk berkongsi keindahan lokasi berkenaan kepada penonton. Saya harap mereka akan utamakan melancong dalam negara dan meneroka tempat-tempat sebegitu," katanya.

Turut ditampilkan sebagai bintang utama, penyanyi Layla Sania menyifatkan dirinya sangat bertuah dipilih produksi itu. Sebagai filem sulungnya, dia anggap tawaran itu sebuah rezeki terpijak.

"Apabila saya ditawarkan untuk membintanginya, saya tahu ia sebuah peluang yang tidak harus dilepaskan. Bahkan, saya tidak rasa seperti berlakon pun dengan ikatan akrab terjalin sesama kami.

"Disebabkan terbabit dalam filem itu jugalah saya belajar erti persahabatan. Bagi saya, peluang itu adalah satu dalam sejuta dan pengalamannya benar-benar sangat berharga," katanya.

Small Town Heroes diterbitkan oleh Sunstrong Entertainment, sebuah produksi LOMO Pictures dan diedarkan GSC Movies.

Selain Layla, Chandler dan Roger, ia turut dibintangi Jack Lim, Yuan Teng, dan Fauziah Nawi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 6:49 AM