BERSYUKUR pembabitan dalam seni mendapat sokongan penuh peminat.
BERSYUKUR pembabitan dalam seni mendapat sokongan penuh peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


PEMBABITAN Layla Sania, 21, dalam bidang seni boleh dikatakan agak membanggakan apabila mencatat beberapa kejayaan tersendiri.

Layla atau nama sebenarnya Layla Sania Khairuzikri mampu tersenyum apabila wajahnya pernah menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat menerusi kempen Equal yang dianjurkan platform penstriman muzik Spotify pada 2021.

Juga kelebihan fasih bertutur dalam bahasa Mandarin turut melayakkan Layla diangkat sebagai Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32), Disember tahun lalu.

Kebolehan itu juga menjadi daya penarik bagi sutradara filem Small Town Heroes, Ryon Lee menyerahkan watak penting sebagai Cikgu Aisyah.

Pencapaian itu menjadi profil terbaik buat Layla meneruskan langkah dalam lakonan termasuk menerusi drama bersiri terbaharu, One Million Dollar Voice arahan Michael Ang.

"Saya bawa watak sebagai Bella iaitu seorang yang sangat menyayangi dirinya serta mempunyai kepercayaan yang sangat tinggi kepada dirinya sendiri.

"Dia juga seorang yang sanggup melakukan apa saja untuk meletakkan dirinya di atas. Saya seronok mainkan watak begini kerana watak Bella agak berbeza dengan watak Layla Sania yang sebenar.

"Boleh dikatakan Bella seorang yang sangat 'gedik' dan antara cabaran untuk saya ialah perlu sentiasa menggunakan nada yang tinggi ketika bercakap berbanding diri sebenar saya," katanya.

Cabaran lain yang dilaluinya ialah perlu memaparkan seorang yang kurang pengalaman dan keupayaan untuk menyanyi.

Biarpun menyerlah menerusi filem Small Town Heroes yang dianggap amat dekat dengan personalitinya di dunia nyata, One Million Dollar Voice adalah drama pertama Layla.

WAJAH Layla pernah menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat menerusi kempen Equal dua tahun lalu.
WAJAH Layla pernah menghiasi papan iklan digital di Times Square, New York, Amerika Syarikat menerusi kempen Equal dua tahun lalu.

"Saya pernah membawakan beberapa watak kecil dalam beberapa telefilem ketika di sekolah rendah serta teater, tapi ini projek drama penuh saya yang pertama.

"Saya melihat usia hanya nombor. Tidak kira usia, sesiapa pun sesuai berada dalam industri ini. Setiap orang mempunya impian tersendiri dan semua itu tidak boleh dihadkan kepada usia.

"Seperti yang walid (ayah) saya selalu katakan, jika kita menyukai sesuatu, perkara itu akan menjadi mudah bagi kita. Tidak kira usia, jika kita ada sesuatu yang ingin kita capai, 'just go for it'," katanya.

Menerusi bidang ini juga, Layla memperoleh ilmu baharu iaitu sentiasa menjadi diri sendiri dan sentiasa ingat sebab bermula dalam kerjaya ini serta alasan meletakkannya di tempat pertama.

Mengulas penguasaan Bahasa Malaysianya yang dikatakan kurang baik berbanding Bahasa Cina, Layla berkata, setiap hari dia mempelajari benda baharu.

"Bukan nak katakan saya tidak fasih Bahasa Malaysia. Bahasa pertuturan yang digunakan di rumah dan kehidupan seharian tetap Bahasa Malaysia.

"Cuma saya ingin mengukuhkan lagi penguasaan Bahasa Malaysia supaya boleh bertutur dan menulis dengan lebih tepat dan dapat menggunakan Bahasa Malaysia dengan lebih indah.

"Jika ditanya fokus utama antara nyanyian atau lakonan, saya memulakan kerjaya dengan nyanyian kerana ia adalah satu medium untuk meluah perasaan," katanya.

Tambahnya, menyanyi adalah sesuatu yang sangat penting kepadanya, namun berlakon pula memberikan nikmat berbeza.

"Saya dapat menyampaikan pelbagai watak dan bercerita kepada penonton. Saya rasa akan dapat banyak ilmu yang boleh dipakai dalam kehidupan dari kedua-dua cabang ini.

"Saya rasa tak mustahil untuk mengejar impian menjadi pelakon dan penyanyi serta impian untuk menjadi guru tadika juga.

"Saya bersyukur setakat ini mendapat sokongan penuh peminat. Ada satu akaun iaitu 'TeamLaylaSania' yang sentiasa 'support' saya dari hari pertama masuk dalam bidang seni," katanya.

Layla bagaimanapun kurang gemar menggelarkan mereka sebagai peminat kerana melihat seperti ada jurang antara mereka.

"Jadi, saya selalunya menganggap mereka sebagai kawan yang sentiasa ada dengan saya dari mula menjejak masuk dalam industri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 September 2023 @ 6:00 AM