ZULIN Aziz
ZULIN Aziz
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, penyanyi dan pengacara, Zulin Aziz berkongsi berita gembira apabila dia tidak dijangkiti varian Omicron Covid-19 dan sudah 'bebas' kuarantin selepas hampir 10 hari 'berkurung'.

Zulin ketika dihubungi berkata, dia bersyukur selepas disahkan tidak lagi positif Covid-19.

"Alhamdulillah, saya tidak dijangkiti varian Omicron. Kalau tidak, durasi kuarantin perlu ditambah lagi," katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi pengalamannya menjalani kuarantin di rumah, Zulin berkata, dia hanya mengalami gejala kehilangan deria bau saja.

"Saya mengalami gejala hilang deria bau selama dua hari dan pada hari ketiga, deria bau sudah kembali normal. Saya amalkan makan buah kurma dan alhamdulillah, itu sedikit sebanyak membantu. Kalau demam, saya tak alami demam ketika dalam tempoh kuarantin," katanya.

Ditanya mengenai kontak rapatnya sebelum disahkan positif, Zulin juga tidak ada jawapan.

"Saya pun tak pasti dari mana saya dijangkiti. Berkemungkinan besar ketika di lapangan terbang memandangkan ramai orang di sana. Mungkin juga ketika berada di dalam pesawat.

"Namun, yang pasti dalam 72 jam pertama memang saya tak ada sebarang gejala dan semuanya dalam keadaan normal saja. Saya menjalani ujian calitan sebanyak tiga kali iaitu sebelum pulang ke Malaysia, ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekali lagi sebelum saya disahkan positif," katanya.

Selesai menjalani kuarantin, Zulin menerima notifikasi di aplikasi MySejahtera untuk temujanji suntikan vaksin penggalak.

"Alhamdulillah, di MySejahtera, dah dapat notifikasi untuk menerima vaksin penggalak pada esok. Jadi, saya harapnya semuanya dipermudahkan. Insya-Allah, Isnin nanti saya akan mula bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 3:24 PM