Zulin Aziz
Zulin Aziz
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Zulin Aziz bimbang dia dijangkiti Covid-19 apabila hilang deria bau dan mengalami batuk serta selesema sejak pulang dari mengerjakan umrah, Sabtu lalu. 

Zulin atau nama sebenarnya, Farah Azleenda Abdul Aziz yang kini sedang menjalani kuarantin sedang menunggu keputusan ujian calitan yang dilakukan di lapangan terbang sebelum ini. 

Katanya, dia juga sudah melakukan kit ujian kendiri Covid-19 (RTK) air liur dan hasilnya negatif buat masa ini. 

"Buat masa ini, saya masih lagi menantikan keputusan ujian calitan yang dilakukan di lapangan terbang. Saya ada juga buat ujian calitan sendiri di rumah tapi keputusannya negatif. Lebih membimbangkan, deria bau saya juga mula hilang sejak semalam.

"Namun, saya bersyukur kerana tak demam, batuk dan selsema pun sudah berkurangan," katanya.

Semalam, Zulin memuat naik status memberitahu keadaan dirinya yang sudah hilang deria bau selepas empat hari menjalani kuarantin.

Rata-rata netizen serta rakan selebriti mendoakan agar pelakon drama Penjara Janji itu diberikan kesembuhan cepat.

Bekas penyampai radio Suria FM itu juga menjalani kuarantin menunaikan umrah pada 21 Disember tahun lalu dan pulang ke Malaysia, Sabtu lalu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 4:17 PM