PETALING JAYA 01 DISEMBER 2021. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) menunjukkan trofi FFM31 yang dipertandingkan sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim (kiri) dan Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid ketika sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 di Damansara. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
PETALING JAYA 01 DISEMBER 2021. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) menunjukkan trofi FFM31 yang dipertandingkan sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr Md Nasir Ibrahim (kiri) dan Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid ketika sidang media Festival Filem Malaysia (FFM) ke-31 di Damansara. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa menggesa penggiat seni mengetepikan perbezaan ideologi dan tidak bercakaran demi kemajuan industri perfileman tanah air.

   Menurutnya, segala percanggahan pendapat harus diselesaikan secara harmoni dan bersama sejajar dengan misi kerajaan mempromosi konsep Keluarga Malaysia.

   "Kalau dulu kita asyik baca kontroversi sana sini, sekarang perlu kurangkan konflik. Jika ada idea bagus, individu itu perlu cadangkan dan bincang. 

   "Tidak perlu masuk media sosial orang itu untuk menghentam sana-sini sedangkan setiap perkara boleh diselesaikan dengan berhemah.

   "Lazimnya dalam dunia sekarang, baik orang politik, artis ataupun pemain bola sepak kurangkan konflik. Buat apa suka cari gaduh dan cari perbezaan, sehingga mereka lupa banyak titik persamaan.

   "Kalau tengok dalam al-Quran banyak disebut soal kerjasama. Jadi, semua persatuan seni janganlah bercakaran, saya sebagai bapa atau datuk mahu menasihatkan agar kita ceriakan kerjaya kita, tak perlu timbulkan polemik yang tidak baik," katanya lagi.

   Annuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) di Hotel Royal Chulan The Curve, Damansara, di sini, petang tadi.

   Beliau berkata, bagaimanapun jika dapat mengurangkan percakaran bukan bermakna tidak boleh ada sebarang perbezaan pendapat.

   Dalam pada itu, Annuar turut menegur sikap segelintir penggiat seni yang tidak mengambil peduli penganjuran festival terbesar untuk merai dan memberi penghargaan kepada hasil kerja mereka.

   Katanya, penggiat seni sepatutnya memberi sokongan padu memandangkan FFM adalah majlis yang diadakan untuk menghargai kru filem.

   "Saya faham dalam situasi pandemik sekarang, mungkin ada yang terlepas pandang memandangkan mereka (penggiat seni) kembali bekerja.

   "Bagaimanapun kalau dilihat segala publisiti yang dihebahkan di media, mereka sepatutnya lebih peka dengan perkembangan anugerah besar seperti ini.

   "Wartawan dan televisyen memainkan peranan menyebarkan mengenai anugerah ini, tetapi mereka (penggiat industri) tidak mahu ambil 'port' apa yang berlaku di sekeliling mereka," katanya. 

  FFM31 akan berlangsung pada 10 Disember ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang mempertaruhkan 55 buah filem.

   Buat pertama kalinya juga, pemenang Filem Terbaik akan membawa pulang trofi dan geran Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000 untuk menghasilkan filem seterusnya.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 11:04 PM