Ahmad Ibrahim.
Ahmad Ibrahim.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) bersimpati dengan nasib menimpa ahli dan penggiat seni yang menjadi mangsa banjir sejak semalam. 

  Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, FDAM mengambil langkah pro-aktif apabila turut sama membantu ahli dan penggiat seni yang terjejas menerusi sumbangan barang keperluan asas seperti makanan dan minuman. 

   "FDAM mula menghebahkan dalam kumpulan mesej di aplikasi WhatsApp ahli-ahli kami agar mereka yang terjejas akibat banjir dan memerlukan bantuan boleh menghubungi terus kami menerusi Biro Kesejahteraan Sosial yang diuruskan Ketua Biro, Ahmad Hashim (Mad John).

   "Sejak malam tadi, FDAM juga turun padang menghantar bantuan makanan dan kami akan terus bertindak jika ada maklum balas daripada ahli atau penggiat seni lain yang terjejas," katanya.

   Menurutnya, FDAM juga singgah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hulu Kelang hari ini untuk melihat situasi penggiat seni yang menumpang sementara di sana. 

   "FDAM sedia membantu Finas dalam gerakan bantuan mangsa banjir. Difahamkan Finas sekarang membuat derma kilat di samping usaha-usaha lain.

   "FDAM berharap kita semua dapat bantu menghulurkan sumbangan pada mereka yang terjejas dan memerlukan ini," katanya.

   Mat London berkata, ahli FDAM dan penggiat seni yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Mad John di talian 01121663119. 

   Manakala sumbangan derma kilat Tabung Mangsa Banjir Finas boleh dihulurkan menerusi nombor akaun 12113010062606 (Bank Islam Malaysia).

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 2:46 PM