Fazley bersama anak-anak.
Fazley bersama anak-anak.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan cef selebriti terkenal, Datuk Fazley Yaakob, 43, sanggup menerima lamaran menyertai Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) demi anak bongsunya, Alayna Selma, 4, yang tidak pernah tahu dia seorang penyanyi.

Fazley ketika ditemui berkata, selepas beberapa kali tidak dapat menerima tawaran GV sebelum ini kerana jadual kerja yang padat, dia akhirnya nekad bersaing untuk memenuhi impian puteri tunggalnya itu.

"Saya sebenarnya 50-50 juga untuk terima tawaran GV8 ini. Namun, apabila mendengar pertanyaan anak bongsu yang tidak tahu saya dahulunya seorang penyanyi, perasan rasa agak sebak.

"Ditambah, dia melihat pula video saya menyanyi lagu Asmara Ini sambil mendukung abang-abangnya dan dia bertanya di mana dia, kenapa tiada? Dari situ, saya rasa wajar untuk dia tahu daripada saya sendiri dan bukan orang lain," katanya.

Ditanya adakah dia sudah bersedia menerima kritikan juri profesional dan mungkin juga tersingkir, Fazley berkata, dia sudah memikirkan segala-galanya terlebih dulu sebelum membuat keputusan.

"Sudah sembilan tahun saya menjadi juri masakan dan sering memberi kritikan dalam masakan orang lain. Jadi, sekarang saya membuka hati untuk menerima pula apa saja kritikan daripada juri mahupun netizen terhadap nyanyian saya.

"Apatah lagi, saya sangat rindu untuk membuat persembahan pentas. Sejak kehadiran Covid-19 dalam negara, sudah lama juga saya tidak berpeluang membuat persembahan nyanyian secara 'live' dan hanya virtual saja.

"Kalau dulu, selalu juga saya diundang menyanyi dalam majlis makan malam korporat. Apapun, dunia muzik saya tidak pernah terhenti selama ini kerana di rumah selalu juga menyanyi dengan anak-anak," katanya.

Mengulas penerimaan isteri, Datin Azrene Ahmad, Fazley berkata, isterinya bimbang dan menyokong. Katanya, Azreen bimbang jika dia tidak cukup masa berlatih dan menyokong kerana tahu muzik adalah minat utamanya.

Fazley dan Azreen mendirikan rumah tangga pada 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 13; Ahmad Fieradz Shah, 12; Ahmad Firudz Shah, 10; dan Alayna Selma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 4:38 PM