MUZIK sebati dalam diri, Fazley sertai GV8 kerana anak.
MUZIK sebati dalam diri, Fazley sertai GV8 kerana anak.
Norhayati Nordin


NAMA Datuk Fazley Yaakob, 43, mula melangkah dalam industri hiburan tanah air sebagai penyanyi pada 1995 ketika berusia 17 tahun dan muncul dengan album pertama terbitan Musicland Entertainment.

Pada tahun berikutnya, Fazley bernaung dengan syarikat rakaman BMG Music dan tampil dengan album kedua berjudul Impian Yang Nyata.

Namun, promosi album itu terbantut apabila dia melanjutkan pengajian ke luar negara.

Bagaimanapun, Fazley hadir dengan album ketiganya, Asmara Ini terbitan Warner Music pada 2001. Sejak itu, rezeki populariti sebagai penyanyi akhirnya dimiliki bapa empat anak ini menerusi single berjudul Asmara Ini.

Tahun berganti tahun, siapa sangka Fazley yang kini seorang cef selebriti terkenal masih terus dibayangi dengan panggilan 'Abang Asmara' dalam kalangan peminat setianya.

"Panggilan 'Abang Asmara' itu sudah melekat dengan saya selama 22 tahun. Walau ke mana saya pergi, memang dalam kalangan peminat selesa memanggil saya dengan gelaran 'Abang Asmara' dan sekarang ada satu lagi, dipanggil juga 'Abang Cef'.

"Gelaran 'Abang Cef' ini saya dapat apabila begitu aktif dalam bidang masakan dan kulinari tanah air. Bagaimanapun, dengan adanya dua kelompok peminat ini kadang-kadang ada antara mereka yang keliru kenapa 'Abang Cef' pun menyanyi.

"Jadi, menerusi pembabitan saya dalam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) ini secara tidak langsung untuk memberitahu dua kelompok peminat saya bahawa sama ada 'Abang Asmara' atau 'Abang Cef', individu dimaksudkan adalah orang yang sama," katanya.

FAZLEY ada menghasilkan single Wo Ai De Ni, awal tahun lalu.
FAZLEY ada menghasilkan single Wo Ai De Ni, awal tahun lalu.

Menurut Fazley, penyertaannya itu juga sekadar untuk berhibur dan menggembirakan anak-anaknya yang selama ini memang tahu minat bapa mereka terhadap muzik tidak pernah pudar kerana sudah sebati dengan jiwa.

"Tujuan saya sertai GV8 ini untuk 'enjoy' dan penuhi impian anak-anak terutama Alayna Selma yang berusia empat tahun. Tapi jika ada orang lain juga terhibur, itu pun dah buat saya berasa syukur alhamdulillah yang tidak terhingga.

"Saya juga akan bersaing secara sihat sepanjang pertandingan ini kerana semua peserta mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi saya, segalanya bergantung pada rezeki dan saya mahu membuat persembahan terbaik," katanya.

Mengakui hingga kini masih aktif sebagai penyanyi, Fazley berkata, kali terakhir dia menghasilkan single baharu adalah tahun lalu yang berjudul Wo Ai De Ni. Namun, tidak dapat dipromosikan kerana penularan Covid-19.

"Saya melancarkan lagu itu sebelum negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama. Tapi, kita hanya mampu merancang dan segalanya Allah SWT yang menentukan. Malah, saya juga ketika itu sibuk dengan kerjaya masakan.

"Saya sibuk dengan rakaman program masakan termasuk menjadi juri dalam program masakan juga. Oleh itu, secara tidak langsung kerjaya nyanyian saya memang tertinggal ke belakang," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 6:20 AM