Fadzil (berdiri tengah) di lokasi penggambaran.
Fadzil (berdiri tengah) di lokasi penggambaran.
Wartawan Harian Metro

 

Kuala Lumpur: Penerbit Zeel Production, Fadzil Teh  memohon maaf kepada pelakon Farah Ahmad dan juga ibu mentuanya, Fauziah Nawi di atas insiden nama pelakon itu tiada di dalam 'credit title' drama Tahyul yang disiarkan TV3, baru-baru ini.

Farah yang melakonkan 'watak kecil' sebagai Nyai Eseh dalam karya itu berasa kesal apabila nama dan karekternya tidak dimasukkan ke dalam 'credit title' bersama barisan pelakon lain.

Justeru, Farah meluahkan rasa hatinya menerusi perkongsian di media sosial berhubung perkara itu dan ia nyata mendapat maklum balas segera daripada Fadzil yang membuat permohanan maaf di akaun Facebook miliknya.

"Saya dan 'team' Zeel Production mohon maaf atas kelalaian pihak kami. Tahyul ini 'shoot' hari ni tayang esoknya. Saya sendiri tak sempat tengok sebelum ia ditayangkan. Selalunya saya akan perhatikan 'credit title' dengan teliti. Saya faham insan seni. Maaf Fauziah Nawi, Farah Ahmad," katanya.

Dalam hantaran lain, Fadzil berkata dia selalu akan mengingatkan editor (pengarang) 'credit title' agar nama, pangkat, jawatan, watak itu penting. Jangan pandang remeh. Pratonton sebelum disiarkan stesen TV.

Terdahulu, menerusi perkongsian di Facebook, Farah seakan kesal dan merasakan hasil kerjanya tidak dihargai apabila namanya tiada di dalam senarai nama pelakon drama Tahyul yang dibintangi itu.

Farah berkata dia seorang yang sangat menghargai hasil kerjanya dan tidak sambil lewa atau main-main dalam berseni.

"Maaf didahului kata. Bila kerja diri sendiri kena hargai diri sendiri. Marketing (pemasaran) sendiri 'credit title' pun kena sendiri gamaknya. Nasib baik ada kenalan yang perasan. Penonton tengok 'credit title' tau. 

"Saja nak beritahu watak Nyai Eseh ini Farah Ahmad yang lakonkan. Mungkin wataknya kecil hingga terlepas pandang oleh mereka yang bertanggungjawab. Mungkin ada yang bersuara masalah kecil pun nak kecoh. Sekiranya bukan masalah besar, baik tak perlu 'credit title' dalam sesebuah cerita," tulisnya.

Menurut Farah, bagi orang lain mungkin senang tapi bukan pada dirinya untuk bersedia walau sebagai watak tambahan lagi-lagi di saat akhir dan bahasanya juga lain.

Perkongsian dibuat Farah berkenaan turut mendapat perhatian pelakon Fauziah Nawi yang menyokong tindakan menantunya itu dan meminta Farah terus memantapkan aksi lakonan dipersembahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 11:24 AM