Farah Ahmad
Farah Ahmad
Wartawan Harian Metro


Kuala Lumpur: Pelakon Farah Ahmad kesal dan berasakan hasil kerjanya tidak dihargai apabila namanya tiada di dalam senarai nama pelakon drama Tahyul terbitan Zeel Production Sdn Bhd yang disiarkan TV3, baru-baru ini.

Farah dalam perkongsiannya di Facebook berkata dia seorang yang sangat menghargai hasil kerjanya dan tidak sambil lewa atau main-main dalam berseni.

"Maaf didahului kata. Bila kerja diri sendiri kena hargai diri sendiri. Marketing (pemasaran) sendiri 'credit title' pun kena sendiri gamaknya. Nasib baik ada kenalan yang perasan. Penonton tengok 'credit title' tau. 

"Saja nak beritahu watak Nyai Eseh ini Farah Ahmad yang lakonkan. Mungkin wataknya kecil hingga terlepas pandang oleh mereka yang bertanggungjawab. Mungkin ada yang bersuara masalah kecil pun nak kecoh. Sekiranya bukan masalah besar, baik tak perlu 'credit title' dalam sesebuah cerita," tulisnya.

Menurut Farah, bagi orang lain mungkin senang tapi bukan pada dirinya untuk bersedia walau sebagai watak tambahan lagi-lagi pada saat akhir dan bahasanya juga lain.

"Jadi, otak kita akan double triple time (berganda-ganda) berfikir betul ke translation (terjemahan) yang disediakan sebab bahasa orang. Tanya pada kawan-kawan termasuk mama Fauziah Nawi yang ingatkan kita ada kawan Jawa, Azlan Ahmad. Dia siap betulkan translation (terjemahan) Jawa ke Jawa dan bukan Jawa pasar, siap 'voice note' semua dialog betulkan.

"Dan saya bersuara agar perkara ini bukan lagi tiket alasan terlepas pandang atau penat kelam kabut nak kejar waktu siaran. Di mana  'etika' ketika membuat kerja," katanya. 

Ujar Farah, kita bising industri seni itu dan ini, tapi orang seni sendiri tidak menghargai seni itu serta penggiat seni yang lain. Jadi, tahu tak seni itu apa?

Sementara itu, Fauziah Nawi  juga ibu mentuanya dalam perkongsian di Facebook menyifatkan memang akan terasa jika nama seseorang pelakon itu tiada dalam 'credit title'.

"Memang terasa bila nama kita tak ada dalam 'credit title' Farah Ahmad. Tapi tak mengapa. Wajah dan lakonan awak orang kenal dan ingat. Pertajamkan lagi kraf mu dan buktikan kau bukan sampah," tulisnya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 11:36 AM