ZAKARIA. FOTO Arkib NSTP
ZAKARIA. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedia memberi kerjasama penuh dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan Dana Kandungan Digital (DKD) dalam badan itu.

Ia susulan penerbit dan pengarah, Mohd Asri Alias membuat laporan SPRM dan polis kerana timbulnya syak daripada kenyataan Finas yang mendakwa pengagihan dana itu dibuat secara telus, tanpa pilih kasih mahupun kronisme.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah sedia maklum mengenai laporan itu, namun masih belum mendapat sebarang panggilan daripada SPRM.

"Ya kami maklum perkara itu tapi tidak boleh komen sebab sudah menjadi kes SPRM. Kami bimbang ia akan mengganggu proses siasatannya.

"Setakat ini, kami belum dihubungi SPRM tetapi kami akan memberi kerjasama sepenuhnya. Kita tunggu saja siasatan pihak berkuasa nanti," katanya.

Semalam, Asri memaklumkan dia membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah, di sini, pada 29 Julai lalu, manakala SPRM pada 20 Ogos lalu.

Katanya, dia menyedari wujudnya penyelewengan selepas meneliti DKD di bawah kategori Dana Filem Cereka membabitkan nilai RM40.5 juta yang diagihkan kepada 60 syarikat produksi.

Asri turut menyangkal kenyataan Zakaria bahawa ketetapan sudah dibuat, pemohon yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ahli perbadanan tidak layak memohon DKD bagi memastikan proses pemilihan telus dan adil selepas Finas diterajui pasukan baharu.

Katanya, maklumat-maklumat dikemukakannya itu adalah benar berdasarkan rujukan dan penelitian melalui Akta 694 SPRM 2009. Ia mengikut Seksyen 3, Seksyen 23 dan Seksyen 50 (1) dan Akta 244 Finas 1981 mengikut Seksyen 12.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 3:53 PM