LINA Tan.
LINA Tan.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya Lina Tan yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada Jun 2020 telah mengisytiharkan secara bertulis kepada Finas mengenai kemungkinan adanya percanggahan kepentingan berkenaan hal ini bagi mematuhi semua keperluan undang-undang yang terpakai."

Demikian kata Pengasas dan Ketua Pegawai Kandungan Red Communications yang menafikan syarikat produksinya terbabit dalam isu ketirisan dalam agihan Dana Kandungan Digital (DKD) melalui laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 seperti yang tular di Twitter, baru-baru ini.

Menurut Lina Tan, pemberian geran DKD OTT di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebanyak RM200,000 untuk membiayai pembikinan filem Sa Balik Baju sama sekali tidak wujud unsur kronisme sewaktu dia dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Katanya, perkara itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana isu itu sudah pun dibincangkan lebih awal dengan Finas kerana tidak mahu ia dipersoalkan di kemudian hari.

"Dana DKD OTT di bawah Finas dibuka untuk permohonan pada Mei 2020 dan Red Communications menyerahkan dua cadangan projek pada Jun 2020. Namun hanya satu diluluskan untuk menjadi penerima DKD, iaitu cadangan filem Sa-Balik Baju.

"Pengisytiharan saya diambil maklum oleh Finas serta dirakamkan di dalam minit mesyuarat Lembaga Pengarah pada 8 Julai 2020. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (ketika itu) juga mengambil maklum mengenai kemungkinan percanggahan terbabit dan Dr Ahmad Idham, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Finas waktu itu turut mengetengahkannya kepada Datuk Sri Saifuddin Abdullah yang juga bekas menteri Komunikasi dan Multimedia.

"Ahli Lembaga Pengarah tidak terbabit sama sekali dalam penganugerahan sebarang kontrak, mahu pun operasi harian di Finas serta tidak menyelia perkara-perkara sebegitu, percanggahan kepentingan terbabit diputuskan sebagai tidak relevan.

"Sebagaimana yang dinyatakan di dalam laporan Ketua Audit Negara, tujuan Dana DKD OTT (suatu perkhidmatan media yang menyalurkan kandungan terus kepada penonton atas talian) adalah untuk membantu serta menggalakkan pengamal industri media untuk mengeluarkan serta mengedarkan kandungan kreatif bermutu tinggi, yang boleh dipasarkan di ruang tempatan mahupun antarabangsa," katanya.

Menurut Lina Tan, pihaknya juga sudah menyerahkan segala penerangan terperinci kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil bagi membantah laporan Ketua Audit Negara.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai Ahli Lembaga Pengarah, yang berakhir pada Julai 2022, Red Communications tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk mana-mana geran lain daripada Finas.

"Syarikat ini mempunyai reputasi yang kukuh, dengan pengalaman selama 23 tahun serta rekod kerjasama yang baik dengan penyiar tempatan Astro serta penyiar antarabangsa seperti National Geographic, Disney dan History Channel.

"Kami membantah sekeras-kerasnya dakwaan yang timbul daripada laporan Ketua Audit Negara dan sudah menghantar penerangan terperinci kepada Menteri Komunikasi dan Digital bersama dengan semua dokumen sokongan serta minit-minit mesyuarat yang berlangsung di Finas.

"Satu salinan turut dihantar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, kami berbesar hati untuk menjawab sendiri semua pertanyaan dari pihak Ketua Audit Negara," katanya.

Terdahulu media melaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendapati penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perbadanan.

Laporan itu menyebut, semakan audit mendapati DKD RM4 juta disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik isteri dan anak ahli lembaga pengarah Finas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 6:39 PM