SITI dan Naim antara yang Top 5 Artis Lokal pada JOOX Top Music Awards.
SITI dan Naim antara yang Top 5 Artis Lokal pada JOOX Top Music Awards.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, Khai Bahar, Naim Daniel, Haqiem Rusli dan kumpulan Ukays dipilih memenangi Top 5 Artis Lokal pada JOOX Top Music Awards (Pertengahan tahun) 2021.

Siti, 42, berkata, pemilihannya itu adalah rezeki selain tidak sangka mendapat anugerah lagi selepas 25 tahun dalam industri muzik.

"Terima kasih kepada Joox kerana mencalonkan saya walaupun kebanyakan yang bersaing adalah artis muda. Terima kasih kepada peminat saya yang sudah mengundi dan juga strim lagu-lagu saya untuk mencapai kejayaan ini.

"Sebagai artis, saya menyokong apa saja usaha yang dibuat peminat. Ini adalah satu usaha mereka bersama-sama dan kejayaan ini juga adalah di atas kerja keras yang diberikan. Saya lebih bersemangat untuk terus menghasilkan lagu-lagu terbaik dan dapat diperdengarkan kepada peminat industri muzik.

"Untuk terus kekal relevan, saya perlu ada produk yang berterusan dan peminat saya sentiasa ada sesuatu yang boleh saya kongsi dan perdengarkan. Pada usia 25 tahun dalam industri muzik dan masih mendapat anugerah adalah sesuatu yang saya sendiri tidak sangka, namun ini adalah rezeki saya dan juga peminat," katanya.

Naim Daniel pula melahirkan rasa gembira apabila karya dan lagunya menjadi pilihan peminat muzik tanah air.

"Alhamdulillah, tapi tidak menjangka dalam fasa begini masih lagi orang nak ambil tahu mengenai kerja saya. Apatah lagi sudah lama sebenarnya saya tidak keluar dengan lagu baharu. Tunggu masa sesuai saja.

"Terima kasih kepada semua yang mengundi dan Joox sebab memberi pengiktirafan ini sekali lagi. Saya juga tidak sabar sebenarnya nak lancarkan lagu baharu, tapi tunggu dulu keadaan reda. Macam seronok jugalah sebab masih lagi mendapat tempat di hati peminat," katanya.

Sementara itu, Khai Bahar yang turut memenangi kategori Top Pilihan Peminat JOOX, berkata, kemenangan itu turut didedikasikan kepada peminat yang sudah berusaha mengundi.

"Alhamdulillah, saya menang dua kategori. Kedua-duanya adalah undian peminat, tapi untuk Top 5 Artis Lokal juga berdasarkan penstriman. Saya nak ucapkan terima kasih kepada JOOX kerana memberi peluang dan semua peminat saya untuk meraikan anugerah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 2:08 PM